6 Hari Mengintai Sakura…

Jemputan sahabat untuk  ke majlis perkahwinannya di Nagoya, Jepun amat mengujakan. Kini, percutian ke negara matahari terbit bukan lagi angan-angan…

Saya bersama empat lagi rakan menaiki penerbangan MAS selama enam jam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka dalam suasana dingin pagi hujung Mac lalu. Waktu ini sengaja dipilih untuk peluang mengintai keindahan musim bunga sakura berkembang.

Kami sudah bersedia dengan tiket keretapi JR line yang dibeli dari sebuah ajensi pelancongan di Kuala Lumpur berharga lebih seribu ringgit untuk kegunaan tempoh seminggu! Rangkaian rel di Jepun agak berselirat. Nasib baik ada di antara kami yang bijak membaca peta perjalanan keretapi dalam bahasa Jepun maka melancarkan perjalanan kami.

Hari Pertama Osaka

Antara tarikan pelancongan di Osaka pastilah Universal Studio. Ia mempunyai  hentian stesen keretapi sendiri. Di luar pintu masuk sudah kelihatan sesak dengan pengunjung majoriti terdiri daripada  golongan remaja.

Kami dapati barisan masuk berlingkar-lingkar di hadapan pintu masuk Space Odyssey dan Jurassic Park. Lebih kurang satu jam beratur, barulah dapat masuk untuk pengalaman penuh debaran, jeritan dan … penyesalan.  Apapun, ia adalah suatu pengalaman yang mengujakan bagi orang yang takut dengan paras ketinggian seperti saya.

Selepas itu, kami singgah di Osaka Castle yang terletak atas bukit dan ia dikelilingi parit luas.  Menariknya, kami perlu cop lawatan kami atas pasport khas di setiap tingkat ruang pameran dan menyimpannya sebagai tanda kenangan.   Kami dihadiahkan dengan pemandangan saujana mata memandang bandar Osaka dari tingkat atas sekali.

Hari Kedua Kyoto

Pagi yang dingin ditambah pula dengan hujan renyai-renyai membuatkan lawatan ke pusat pemerintahan Jepun selama lebih seribu tahun ini dalam suasana kelam dan hambar. Kyoto kaya dengan banyak warisan sejarah berstatus Unesco World Heritage terutama rumah berhala dan dunia Zen.  Disini juga terletak daerah Gion yang terkenal dengan geisha. Kami memilih untuk melawat Tokong Kinkaku-ji atau pavilion emas dikelilingi rimbunan pepohon yang melantunkan bayangannya atas air tenang tasik Kyoko-chi.

Hari Ketiga Hiroshima

Perasaan begitu teruja untuk melawat ke sebuah kawasan yang menjadi simbol kekejaman Perang Dunia Kedua iaitu Hiroshima. Sebelum itu kami menaiki feri untuk ke Pulau Miyajima  atau pulau rumah berhala yang berstatus Unesco World Heritage. Ia juga terkenal dengan pagar Torii gergasi yang seakan terapung atas air semasa air laut pasang. Anda boleh menyaksikan kumpulan rusa yang jinak bergerak bebas di celah-celah kumpulan pengunjung.  Pokok maple juga banyak tumbuh disini sehingga daunnya dijadikan lambang pada kuih pastri jam yang terkenal di sini.

Pada sebelah tengahari, kami menuju ke destinasi utama iaitu tugu Peringatan Keamanan Hiroshima atau lebih dikenali sebagai Kubah Bom Atomik (GenBaku Domu) yang menunjukkan tinggalan bangunan yang terkena bom atom tentera Amerika Syarikat.  Ia membentuk sebahagian daripada Muzium Peringatan Keamanan Hiroshima termasuk sebuah bangunan pameran dan taman. Dalam muzium, anda dapat menyaksikan gambar-gambar suasana haru, ngeri dan kacau-bilau selepas bom digugurkan, kanak-kanak dan orang dewasa bertempiaran lari dalam keadaan daging luruh daripada tubuh mereka…

Hari Keempat Nagoya

Hari bersejarah bagi kawan kami yang melangsungkan perkahwinan dengan jejaka Jepun mengikut majlis tradisional Jepun.  Sejak awal pagi, Hanim dipersiapkan oleh jurusolek dengan solekan tebal dan penata gaya pengantin Jepun. Kimono putih yang cantik lengkap dengan penutup kepala digayakan pengantin kelihatan begitu berat sehingga menyukarkan untuk Hanim berjalan.

Majlis berjalan penuh disiplin tradisi Jepun termasuk acara minum teh bersama ibubapa dan ahli keluarga pengantin lelaki Suzuka. Lebih kurang sejam majlis selesai dan kami berpindah ke bilik bergambar dimana cara duduk dan letak tangan semua tetamu ditentukan oleh pembantu jurugambar agar nampak tersusun cantik dalam gambar. Sesi yang serius!

Seperti majlis perkahwinan Melayu, kami diberikan sebuah beg kertas yang mengandungi sekotak kek buah yang berbalut dan ikatan reben penuh berseni. Kami dan pasangan pengantin (bertukar pakaian) meneruskan lawatan ke Nagoya Castle dengan senibina unik. Kami sudah terlalu letih untuk meninjau Nagoya TV Tower mahupun bersiar-siar di Tokugawa Garden dan terus berehat di bilik hotel berhampiran stesen Nagoya.

Hari Kelima Tokyo

Kedinginan musim sejuk masih terasa, tambahan pula disertai hujan renyai-renyai menjejaskan sedikit percutian kami. Kelajuan keretapi Shikanzen memendekkan masa  perjalanan antara bandar  dan membolehkan kami melawat banyak wilayah-wilayah yang jauh dalam tempoh  percutian kami yang singkat ini.

Percutian ke Jepun tidak lengkap jika tidak singgah di tiga pusat utama fesyen remaja terkenal iaitu Harajuku, Shibuya dan Shinjuku.  Namun suasana hujan menjejaskan rancangan kami dan hanya sempat meninjau ke kawasan terkenal dengan gaya-gaya pelik golongan remaja di Harajuku yang meriah dengan deretan pelbagai kedai barangan fesyen.

Dua lagi pusat fesyen remaja, Shinjuku dan Shibuya, hanya sempat kami rakamkan dari tingkap stesen keretapi , persimpangan terkenal yang menyaksikan pertembungan payung-payung berwarna-warni milik pejalan-pejalan kaki dari empat penjuru jalan utama! Di stesen Shibuyalah letaknya patung anjing Hachiko yang terkenal dengan kesetiaan menunggu tuannya sehingga mati.

Paling teruja apabila kami menemui satu kawasan yang dipenuhi dengan bunga sakura merah jambu dan putih sedang berkembang di taman Imperial East Gardens  berhampiran Istana Imperial Tokyo.  Bunga sakura banyak berkembang memutih di taman-taman pada awal April selama dua minggu sebelum gugur. Ia ibarat suatu kepuasan dapat merakamkan keindahan bunga yang menjadi inspirasi pada segala yang cantik. Panorama indah ini melengkapkan percutian kami  ke negara matahari terbit ini. Sayonara!