Bagasi: Pastikan Senarai Barang Yang Boleh dan Tak Boleh Dibawa

Buatkan senarai barangan yang hendak dibawa.

 

Satu perkara penting yang perlu anda `kuasai’ untuk menikmati perjalanan yang lancar ialah mengetahui apa yang anda perlu bawa dalam bagasi anda.

Silap perkiraan, anda mungkin tertinggal barangan penting. Atau barang kali juga bakal berdepan dengan kelewatan gara-gara terbawa barang yang dilarang ke dalam kabin. Atau lebih teruk, terpaksa membayar caj tambahan gara-gara bagasi melebihi had berat yang ditetapkan atau bagasi kabin anda tidak mematuhi saiz yang ditetapkan.

Elakkan masalah-masalah ini dengan mengikut petua berikut:

         1.Pilih bagasi bersesuaian.

Memandangkan berat amat penting, pilih beg yang tahan lasak tapi ringan. Hubungi syarikat penerbangan untuk mengetahui berapa banyak beg yang dibenarkan untuk didaftar masuk dan saiz beg yang boleh dibawa masuk ke dalam kabin. Sikap tidak ambil peduli tentang perkara ini boleh menyebabkan anda dikenakan caj tambahan untuk bagasi.

  1. Buat senarai barangan penting.

Buatkan senarai barangan yang anda mahu bawa dan kumpulkannya bersama beg. Lakukan perkara ini beberapa hari atau seminggu sebelum berangkat supaya anda tahu apa yang perlu anda beli untuk kegunaan semasa percutian nanti. Anda juga mungkin boleh mengurangkan lagi barangan (biasanya pakaian) yang perlu dibawa.

  1. Barang yang dilarang

Ketahui barang yang dilarang dibawa dalam penerbangan. Membawa barangan cecair melebihi 100ml boleh menyebabkan barangan itu dirampas, selain anda akan tersangkut agak lama di tempat pemeriksaan pintu masuk.

  1. Barang berharga

Pastikan pasport dan barang berharga anda ada bersama anda setiap masa – jangan masukkannya ke dalam bagasi yang didaftar masuk. Sebaiknya elakkan daripada membawa barang berharga semasa bercuti. Jika perlu dibawa juga, pakai barangan itu atau letakkannya di dalam beg tangan.

       5.Barang penjagaan diri (toiletries)

Anda tidak perlu membawa kesemua barang penjagaan diri yang diguna – melainkan anda akan ke tempat yang agak terpencil dan sukar mendapat barangan itu. Hotel biasanya sudah menyediakan syampu, sabun mandi dan tuala (malah ubat dan berus gigi mungkin ada disediakan). Jika perlu membawa barang penjagaan diri ini, isikannya ke dalam botol-botol kecil yang boleh didapati di farmasi atau kedai serbaguna. Kemudian masukkan barangan ini dalam plastik dan ikat kemas supaya jika ada yang terbocor, ia tidak akan terkena pada pakaian atau barangan lain dalam bagasi.

  1. Satu persalinan dalam beg kabin

Amalkan untuk memasukkan satu persalinan pakaian dalam bagasi kabin anda setiap kali melakukan perjalanan. Cara ini dapat mengelakkan anda tinggal sehelai sepinggang setibanya ke destinasi sekiranya bagasi anda hilang.