Bandung, Kota Paling Aman & Nyaman Di Dunia

Kota Bandung pernah terpilih sebagai salah sebuah kota paling aman dan nyaman di dunia berdasarkan kajian oleh majalah terkenal Time pada tahun 1990. Gelaran dan sanjungan ini tidaklah menghairankan kerana Belanda yang pernah menjajah Indonesia turut menggelar Bandung sebagai ‘Paris Van Java’ atau ‘Paris di Tanah Jawa’ sebagai lambang keindahan dan kemasyhuran kota ini setanding dengan kota Paris di Eropah.

Sebagai kota metropolitan ketiga terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya berdasarkan populasi penduduknya, Kota Bandung secara rasmi mendapat status ‘gemeente’ (kota) dari Gabenor Jenderal J.B. Van Heutsz pada  1 April 1906. Menyorot sejarah silam, Kota Bandung suatu ketika dulu pernah mendapat jolokan sebagai ‘Kota Kembang’ disebabkan pemandangan sekitar  kota ini sangat cantik dengan deretan pohon-pohon dan bunga-bungaan yang berwarna-warni sedang berkembang mekar mengeluarkan bau yang semerbak mewangi di sana sini.

Sebagai ibu kota yang terletak yang terletak 140 kilometer di Tenggara Jakarta, lokasinya mempunyai nilai yang strategik bagi daerah-daerah di sekitarnya. Lokasinya yang terletak di dataran tinggi, menjadikan Bandung  beriklim sederhana dan cuacanya dingin sepanjang masa seperti di Cameron Highlands atau Genting Highlands membuatkan kita tidak merasa berpeluh. Kota Bandung yang di saliri dua cabang sungai utama iaitu Sungai Cikapundung dan Sungai Citarum. Kedua-dua buah sungai utama ini berserta anak-anak sungai yang lain mengalir ke arah selatan dan bertemu di Sungai Citarum. Situasi ini menyebabkan Bandung Selatan selalu terdedah kepada masalah banjir kilat terutama pada musim tengkujuh.

Asal usul perkataan Bandung berasal dari kata ‘Bendung’ atau ‘Bendungan’ kerana terbendungnya Sungai Citarum oleh larva Gunung Tangkuban Perahu yang lalu membentuk telaga. Ada juga kisah legenda yang diceritakan oleh orang-orang tua bahawa nama ‘Bandung’ diambil dari sebuah kenderaan air yang terdiri dari dua buah perahu yang diikat berdampingan yang disebut ‘Perahu Bandung’. Perahu Bandung ini digunakan oleh Bupati Bandung, R.A. Wiranatakusumah II, untuk melayari Ci Tarum dalam mencari tempat kedudukan kabupaten yang baru untuk menggantikan ibu kota yang lama di Dayeuhkolot.

Berdasarkan falsafah  Sunda, kata Bandung juga berasal dari kalimat Nga-Bandung-an Banda Indung. Nga-Bandung-an ertinya menyaksikan atau bersaksi. ‘Banda’ adalah segala sesuatu yang berada di alam hidup iaitu di bumi dan atmosfera, baik makhluk hidup mahupun benda mati. Selain cuacanya yang nyaman dan sejuk, Kota Bandung memiliki pelbagai tarikan dan keistimewaannya yang tersendiri dalam sektor pelancongan berdasarkan aset semula jadinya antaranya Pasar Terapung Lembang, sebuah pasar unik yang dipanggil ‘Floating Market Lembang’ yang memiliki kira-kira 46 buah perahu  penjaja yang menyediakan pelbagai juadah kepada pelancong dari perahu mereka. Pasar terapung ini sangat indah dengan latar belakang Gunung Takuban Perahu yang menyejukkan pemandangan.

Pasar terapung di Lembang ini tidak menjual sayur-sayuran, buah-buahan atau benih pokok seperti yang terdapat di Pasar Terapung di Kalimantan tetapi menyediakan berbagai macam juadah ‘jajan’ (kudap-kudapan) khas Sunda dan jajanan khas Jawa Barat. Pelbagai jenis makanan yang tersedia di wisata terapung di Bandung ini adalah makanan berat, seperti dimsum, surabi, sosis bakar, colenak, tauhu lembang, siomay, baso tauhu, jagung bakar, jamur bakar, durian bakar, otak-otak dan masih banyak yang makanan yang lainnya. Jumlah perahu yang berada di kawasan ini tidak kurang dari 46 buah untuk menyediakan pelbagai jenis juadah yang lazat.

Selain pasar terapung di Lembang, salah satu lokasi yang sering dikunjungi pelancong ialah Kampung Daun sebuah tempat riadah dan makanan terbaik di kota Bandung yang menawarkan konsep alam semula jadi. Kampung Daun memiliki konsep kawasan pinggiran desa yang sunyi dan  direka dengan kaedah tradisional antik seperti tempat makan, anjung dan tempat makan bersila. Pelbagai macam menu makanan dan minuman khas Indonesia dan antarabangsa seperti nasi timbel, rawon, sup buntut, steak, pizza dan pasta. Juga jajan tradisional khas Bandung dan Sunda boleh dinikmati di sini seperti nasi liwet parahyangan, surabi, batagor dan bajigur bandrek.

Antara menu istimewa dari Indonesia disajikan di sini ialah nasi liwet parahyangan, gurame (ikan kaloi) goreng sambal terasi@cobek, gurame bakar sambal kecap, nasi tutug oncom, nasi pepes daun kemanggi, sup gurame, nasi timbel komplit, nasi kukus Kampung Daun, bebek bakar bumbu Bali, nasi goreng kampung daun, nasi goreng seafood, nasi bakar belut, sup iga sapi dan sup buntut bagar. Menu ala Barat juga boleh dipesan seperti chicken steaks, blackpepper beef, beef ribs dan tenderloin steak. Menu makanan ringan pula ialah  batagor, surabi kinca, tauhu goreng, pisang goreng, colenak , poffertjes dan surabi oncom.

Uniknya, cara penyajian makan dan minuman benar-benar berkonsepkan ‘back to natural’, seperti cara penyajian nasi bakar di dalam buluh bekas bakar serta minuman disajikan dari tempurung kelapa. Biasanya sementara menunggu hidangan tiba anda boleh menikmati kudap-kudapan atau jajan seperti dodol, kembang gula gulali,kuih tradisional serta permainan seperti congkak, juga panggung hiburan dan galeri cenderamata yang boleh dibeli sebagai ole-ole. Kampung Daun adalah lokasi terbaru yang wajib dikunjungi kerana lokasinya berdekatan kawasan pelancongan terkenal lainnya seperti Sapu Lidi, Kampung Gajah dan The Peak. Malah inilah lokasi paling artistik dan romantis yang menjadi kegemaran pelancong tatkala berkunjung ke Bandung.

Selain itu, anda juga tidak harus melepaskan peluang melawat Kawah Putih Ciwidey, tasik semula jadi yang muncul akibat letusan Gunung Berapi Patuha yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari kota Bandung. Antara lokasi terbaru yang perlu dilawati ialah Dusun Bambu, lokasi terbaru dalam senarai destinasi ke Bandung. Dusun Bambu begitu indah untuk dilawati dan beristirehat sambil merasai suasana kampung tradisi yang diberi nafas baru di Indonesia yang direka khas sebagai Taman Kampung Sunda.

Secara tidak langsung, kampung ini juga berfungsi untuk mempromosi Indonesia sebagai pengeluar bambu (buluh) kedua terbesar selepas China. Dusun Bambu direka khas mengikut konsep agro tourism tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri masyarakat Sunda di Indonesia. Selain Dusun Bambu, terdapat gunung berapi Tangkuban Perahu yang masih aktif merupakan antara tarikan alam paling popular di Kota Bandung ini. Kali terakhir gunung ini meletus pada skala kecil pada 2013. Gunung berapi setinggi 2000 meter ini adalah satu-satunya gunung berapi di Indonesia yang boleh anda lawati sehingga hampir ke kawah sama ada secara berjalan kaki atau berkenderaan.

Bagi kanak-kanak, Trans Studio Bandung adalah taman tema yang paling sesuai untuk dikunjungi kerana di sini mempunyai 20 aktiviti permainan dari permainan air yang dipanggil The Lost City, rock-climbing di Kong Climb hinggalah ke roller coaster di luar studio. Terbahagi kepada beberapa zon,  antaranya Hollywood, Lost City dan  Zon Magic Corner yang memaparkan zon era  Hollywood sekitar tahun 60-an. Kanak-kanak boleh memasuki dunia sains dan ‘Dunia Anak’ manakala remaja boleh menaiki rollercoaster tertutup antara yang terpantas di dunia. Anda akan dibawa meluncur sejauh 50 meter ke udara dengan kelajuan 120 kilometer sejam bukan sahaja ke hadapan, tetapi juga dengan kelajuan yang sama mengundur ke belakang. Pastikan anda datang awal pagi agar tidak ketinggalan pementasan dan persembahan muzikalnya. Luangkan masa sehari suntuk di sini kerana semasa berada dalam kawasan tertutup ini anda mungkin tidak terasa masa berjalan dengan pantas.

Bagi yang kepingin untuk merasai suasana koboi di Bandung, terus saja ke ladang ternakan kuda dan lembu ‘De Ranch’ yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandung. Semasa berada di ladang penternakan kuda ini, anda dan anak-anak bukan sahaja boleh menunggang kuda, tetapi juga boleh mengikuti beberapa aktiviti yang jarang ditawarkan di tempat lain seperti kelas merawat kuda dan berpeluang memandikan kuda-kuda belaan yang jinak.Ladang seluas lima hektar yang dikelilingi banjaran gunung dan dihuni 20 ekor kuda ini bukan sahaja merupakan tempat penternakan haiwan tetapi juga telah diubahsuai menjadi tempat percutian keluarga yang lengkap.

Jika kesemua di atas masih belum cukup dan anda masih ingin rasa pengalaman menjadi koboi sebenar, anda boleh belajar memerah susu lembu, membuat biskut serta memanah dengan harga yang berpatutan. Sebenarnya banyak lagi tarikan di Bandung antaranya Pasar Baru dan pusat membeli belah terkenal Paris Van Java yang sentiasa menanti kunjungan anda ke kota paling aman dan nyaman di dunia ini.