Berlibur Di Negeri Bawah Bayu.

PERCUTIAN bersama keluarga termasuk ipar-duai ke Kota Kinabalu, Sabah dirancang secara spontan. Tambahan, abah dan emak belum pernah merasa pengalaman menaiki kapal terbang serta bercuti ke luar semenanjung. Beberapa wakil keluarga di beri tugas tertentu seperti menempah tiket penerbangan, mengurus penginapan dan pengangkutan bagi melancarkan percutian yang amat mengujakan ini. Kemudahan internet banyak membantu urusan-urusan berkenaan. Apapun, berhati-hati dalam pencarian perkhidmatan yang dijanjikan.

Penerbangan selama dua jam dari LCCT Sepang menyeberangi Laut China Selatan membawa kami sekeluarga ke Kota Kinabalu, Sabah. Status saya dalam facebook mengenai percutian kami telah  mendorong saudara yang menetap di Sabah untuk membuat kejutan menyambut ketibaan kami. Malah mereka turut menyertai rombongan percutian keluarga kami.

Percutian selama tiga hari dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang menarik, meliputi kawasan tarikan pelancongan dari Kota Kinabalu hingga ke Kundasang.

Kesyahduan Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Pantai Tanjung Aru terletak hanya 6 kilometer dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu membentangkan pantai landai yang cukup mempesonakan. Di sepanjang pantai keihatan deretan kedai-kedai menjual cenderamata. Paling menarik adalah restoran makanan laut terutama kepada mereka yang suka menikmati makanan laut yang segar dengan harga berpatutan. Sempat merakam suasana syadu matahari terbenam yang menyemarakkan suasana romantis dalam hembusan bayu laut yang nyaman.

Taman Kinabalu.

Perjalanan ke pekan Kundasang mengambil masa lebih kurang dua jam. Jalan raya yang bersimpang-siur dan berlubang-lubang membuatkan kami berasa tidak selesa. Namun panorama yang terbentang di hadapan mata terutama Gunung Kinabalu yang berdiri megah dalam suhu dingin 14 darjah selsius membuatkan kami kagum dengan ciptaan Ilahi, rasa letih dan pening terus hilang.

Spa Ikan Kampung Luanti, Ranau.

Inginkan pengalaman unik dalam terapi kesihatan? Datanglah ke Spa Ikan Kampung Luanti, Ranau untuk mengalaminya sendiri. Bayangkan ketika berendam dalam air kolam dingin. Semasa berendam dalam air kolam dingin, rasa cuak pula melihat beratus-ratus ikan kelah jinak mengerumuni sambil mencubit kecil kaki. Namun perasaan berubah seronok melihat gelagat ikan yang melucukan.

Kolam Air Panas Poring, Kundasang.

Kolam Air panas Poring yang terletak 42 kilometer dari Taman Kinabalu ini berada dalam kehijauan rimba yang mendamaikan. Kemudahan seperti surau, pilihan kolam terbuka dan tertutup, bilik persalinan yang bersih, kedai makan dan kawalan keselamatan menjanjikan keselesaan para pengunjung. Selain itu, terdapat titi gantung yang tingginya kira-kira 41 meter dari tanah dengan pemandangan puncak pohon Raja Kayu atau Menggaris.

Ladang Lembu Mosilau/Desa, Ranau.

 

Salah satu lokasi wajib dijejaki adalah Ladang Lembu Mosilou/Desa di daerah Ranau yang menempatkan hampir 680 ekor lembu tenusu baka Fresian New Zealand dan Australia. Ladang ini berlatarbelakangkan pemandangan bukit tanah tinggi yang sungguh mengagumkan. Kabus disertai hembusan bayu menyambut ketibaan para pengunjung. Suasana umpama berada di negara Eropah.

Rumah Terbalik, Daerah Tamparuli.

Rumah Terbalik Tamparuli dengan senibina rumah tradisional masyarakat Bajau adalah satu lagi pengalaman yang unik. Pengunjung dapat melihat sendiri alat-perabut seperti televisyen, peti ais, meja makan, mesin jahit malahan tandas dalam keadaan terbalik. Lagenda lucu pemilik rumah yang mempunyai anak yang terlalu nakal sehingga tercetusnya idea ‘rumah terbalik’ ini menjadikan ia antara lima buah rumah terbalik dalam dunia.

Pengalaman percutian keluarga saya ke negeri bawah bayu sesungguhnya meninggalkan kenangan manis buat kami. Anda bila lagi hendak ke sana?