Bermalam Dan Menunggang Unta Di Gurun Sahara – Percutian Di Morocco Yang Romantis Dan Eksotis!

Sebut sahaja Morocco, terbayang depan mata keunikan dan kehalusan senibina silam – kubah, menara tinggi, pintu gerbang serta marmar dalam rona-rona rempah-ratus. Morocco juga mengingatkan anda pada keasyikan kota lama Casablanca yang pernah menjadi latarbelakang filem James Bond. Sungguh eksotik!

Angan-angan saya dan tiga rakan untuk menyaksikan sendiri keindahan Morocco menjadi kenyataan pada pertengahan Oktober lalu. Percutian 10 hari di negara yang kaya dengan tinggalan sejarah penaklukan beberapa bangsa asing terasa bagai mimpi.

Setelah transit di Doha dan tiba di Casablanca dengan Qatar Airways, kami berempat terus menaiki keretapi (empat setengah jam perjalanan) ke Marrakech dan bermalam di sana.

Kami memilih untuk menempah pakej melancong lima hari semasa di Marrakech kerana tidak sabar untuk keluar dari kotaraya ini dan melawat ke destinasi-destinasi pelancongan yang terkenal. Lawatan pertama kami ialah Gunung Atlas, lebih kurang satu jam perjalanan ke selatan Marrakech. Panorama banjaran gunung-ganang  Dades Gorges dan gurun Sahara saujana mata memandang terbentang di hadapan kami. Subhanallah!

Kami dan tiga kumpulan pelancong bermalam dalam kediaman inap desa milik bangsa tempatan Berber dalam suasana yang unik. Keesokan petang, dari sebuah pekan kecil Merzouga erg chebbi, kami memulakan perjalanan lebih kurang dua jam menunggang unta ke Gurun Sahara yang terbentang luas.

Suhu sudah mula menurun dan menjelang malam, suhu mencecah 17 darjah Celsius diiringi siulan angin gurun. Kami sudah bersedia membalut tubuh dengan jeket dan selimut tebal sambil menikmati suasana syahdu malam di tengah gurun Sahara. Betapa indahnya bintang-bintang yang menghiasi baldu langit malam! Mengalir airmata melihat keagungan ciptaan Allah swt.

Awal pagi lagi kami sudah bersantai atas pasir menunggu suasana indah fajar menyinsing. Suatu pengalaman yang sukar diucapkan dengan kata-kata tatkala melihat matahari perlahan-lahan menerangi suasana gersang di gurun.

Kami juga sempat singgah di Ait Bien Haddou, kawasan penggambaran filem-filem terkenal ‘Gladiators’  dan ‘Game of Thrones’. Tempat ini juga mendapat nama jolokan ‘Moroccon Hollywood’.

Dengan hati yang berat, kami meninggalkan kawasan gurun untuk meninjau satu lagi daya penarik di Morocco. Perjalanan dengan bas selama satu jam membawa rombongan kami ke  bandar pelabuhan Essaouira yang terkenal dengan konsep biru-putih! Bayangkan anda dikelilingi oleh deretan bangunan bercat warna biru-putih berlatar belakangkan langit serta laut biru yang nyaman lagi mendamaikan.

Kami menghabiskan beberapa hari terakhir bersiar-siar di Marrakech. Kami sempat mencuba makanan tradisional tempatan cous-cous berlauk daging berempah dan amat menyukai ayam tajin, salad dan sup Morocco (Harirra). Harga cenderahati di sini agak mahal dalam matawang Euro namun, sempatlah kami membeli buah tangan berupa pinggan seramik dan permaidani buatan tangan dan jubah berwarna-warni. Apapun, saya dapati harga barang lebih murah di souk Essaouira berbanding Marrakech.

Dalam masa singkat itu, sempat juga kami mengikuti kelas memasak di Faime d’Epices yang menyeronokkan serta memanjakan diri di Hammam (spa) dalam suasana hiasan dalaman yang eksotik, terbayang kehidupan mewah puteri Arab.

Pengalaman berada di puncak  Gunung Atlas, menunggang unta dan bermalam di hening gurun Sahara dan meninjau lorong-lorong sempit dan souk-souk sibuk kotaraya silam Marrakech  meninggalkan suatu kenangan paling manis untuk kami…

Kredit: Siti Hasniza Abd Halim

Destinasi: Morocco

Keterangan: Pengalaman percutian Siti Haidar, Esmaliza Ismail dan dua lagi rakan ke Morocco