Enam Destinasi Bulan madu pilihan

Melayari keasyikan detik terindah saat sah bergelar suami isteri,  waktu bulan madu tentunya menjadi saat yang ditunggu-tunggu buat memahat momen terindah di awal perkahwinan. Setelah lelah menguruskan kenduri dan resepsi perkahwinan, tiba masanya untuk menikmati waktu berdua. Biar ke mana pun kaki melangkah pasti terasa indah kala bercanda memadu kasih bersama pasangan tercinta. Nah, kami kongsikan antara destinasi-destinasi menarik buat mematri momen bulan madu kalian. Mana satu agaknya lokasi bulan madu idaman yang paling ideal buat kamu dan pasangan?

1. New Zealand

Menikmati percutian bulan madu ke negara Selandia Baru ini pasti sebuah pengalaman indah yang tidak akan dilupakan. Banyak tempat menarik yang sering dikunjungi pelancong dengan pemandangan menakjubkan. Dari padang rumput keemasan, pemandangan banjaran pergunungan bersalji, hinggalah pulau-pulau yang akan membawa anda kepada danau biru nan jernih. Selain alam semulajadi yang indah dan bervariasi pilihan, banyak aktiviti dan tempat rekreasi menarik untuk anda dan pasangan.

Tempat menarik: Mountain Cook (Aoraki), Abel Tasman National Park, Queenstown, Fiordland National Park, Westland Tai Poutini National Park.

 

 2. Santorini, Greece

Terkenal sebagai salah satu destinasi percutian dengan atmosfera paling romantis dan indah di dunia, Santorini menjanjikan percutian bulan madu sempurna untuk pasangan yang mencari liburan romantis dan mewah. Pulau kecil dengan keindahan pemandangan matahari terbenam dan keunikan binaan kota dan villa yang memutih di sepanjang tebing menghadap pemandangan lautan yang membiru. Selusuri tempat-tempat bersejarah seperti Akrotiri mahupun mencuci mata di butik-butik sekitarnya.

Tempat menarik: Fira, Oia, Pyrgos, Ancient Thira, pantai hitam (black beach), Akrotiri (Minioan Pompeii)

3. Paris, Perancis

Tidak lengkap senarai tempat-tempat bulan madu jika Paris tiada dalam senarai. Kota romantis yang selalu menjadi saksi magnet cinta lebih-lebih lagi buat pasangan baru berkahwin. Jika berkemampuan, apa salahnya meraikan ikatan cinta yang terbina dengan bersaksikan ikonik di kotaraya yang cukup sinonim buat pasangan bercinta ini. Sekali seumur hidup dan jadi momen paling berharga sepanjang hayat.

Tempat menarik: Eiffel Tower, Louvre Museum, Musee D Orsay, Arc De Triomphe, Sacre Coeur.

4. Venice, Itali

Sekian lama menjadi destinasi pilihan dan dambaan memadu kasih buat pasangan baru berkahwin. Tiada yang lebih indah selain menyelusuri ‘kota terapung ini’ dengan menaiki gondola bersama pasangan tercinta. Bandar yang dibangunkan di atas air ini memiliki ratusan terusan berliku dengan pemandangan bangunan-bangunan berseni bina menarik dan unik berlatarkan nuansa lama dan tersendiri. Setiap bidikan gambar kenangan anda di sini pasti tampak indah dan artistik bagaikan dalam lukisan.

Tempat menarik: Doge’s Palace, gondola di Grand Canal, Murano, Burano and Torcello, St. Mark’s Basilica.

5. Lombok

Tiada yang sangsi dengan keindahan pantai di Lombok, Indonesia ini. Percutian tepi pantai yang pasti meninggalkan memori indah buat anda dan pasangan. Banyak aktiviti menarik yang boleh anda lakukan bersama. Berkejaran di pesisir pantai, menikmati bayu laut sama-sama serta disirami sinaran mentari pagi mahupun berbuai di Gili Trawangan menyaksikan panorama indah kala matahari terbenam. Bagi yang mahukan pengalaman mencabar untuk diingati, pacu adrenalin anda dengan aktiviti surfing di desert point bokong-bokong atau hiking ke gunung Rinjani.

Tempat menarik: Pantai Kuta, pantai Senggigi, desert point, Gunung Rinjani, Gili Trawangan.

6. Cameron Highlands

Siapa kata bulan madu perlu ke luar negara? Cameron Highland juga sering menjadi destinasi pilihan bulan madu menarik dalam negara dengan bajet rendah. Nikmati saat memadu kasih di puncak tanah tinggi dengan udara nyaman dan dingin ala-ala English.  Menjamu mata dengan saujana pandangan menghijau sambil menghirup teh segar merupakan antara perkara terindah yang dapat diabadikan di tanah tinggi ini. Berjalan kaki sambil melihat keindahan alam semula jadi akan membuatkan sesiapa sahaja lupa seketika segala masalah yang dihadapi. Di antara pekan Brinchang dan Tanah Rata, anda boleh memilih mana-mana sahaja penginapan romantik untuk bersama orang yang tersayang. Tidak hairanlah jika Cameron Highland menjadi salah satu pilihan pasangan untuk berbulan madu.

Tempat menarik: Ladang Teh Boh, Taman Rama-Rama Kea Farm, MARDI Agrotechnology Park, Muzium Time Tunnel, 5D Art Muzium, Cactus Valley, Lata Iskandar, Pasar Malam Pekan Brinchang, Lavender Garden, Mossy Forest, Rose Centre, Gunung Irau, Strawberry Park.