Extra Pengangkutan Awam, Lebih Mudah Pulang Beraya

Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air dibenarkan menambah penerbangan sempena perayaan Hari Gawai, Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah.

Gelombang balik kampung untuk berhari raya pada pertengahan Jun ini dijangka menjadi bertambah mudah dengan adanya penambahan kekerapan penerbangan dan perjalanan kereta api dalam tempoh tersebut.

Bilangan orang yang akan melakukan perjalanan dijangka bertambah pada kali ini apabila ia disambut ketika musim cuti sekolah, yang bermula dari 9 Jun hingga 24 Jun ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sejumlah 458 penerbangan tambahan yang melibatkan tiga buah syarikat penerbangan – Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air –disediakan pada bulan ini sempena perayaan Hari Gawai, Aidilfitri serta cuti sekolah.

Penerbangan tambahan ini menyediakan 140,264 tempat duduk untuk sejumlah 26 laluan penerbangan, antaranya dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Langkawi. Juga dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu, Miri, Tawau dan Sibu; Subang ke Alor Setar, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, serta Kota Kinabalu ke Sandakan.

Pertambahan ini turut melibatkan beberapa destinasi ASEAN, seperti dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan, Surabaya, Jakarta dan Ho Chi Minh.

Enam trip tambahan ETS setiap hari yang menawarkan hampir 20,000 tiket.

Manakala Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menambah enam perkhidmatan setiap hari pada 12 Jun hingga 14 Jun, dan 17 Jun hingga 24 Jun, yang mampu menawarkan 19,800 tiket.

Ini bakal menjadikan kekerapan perjalanan ETS antara Kuala Lumpur ke Perlis dan Perlis ke Kuala Lumpur bertambah daripada 36 trip kepada 42 trip sepanjang tempoh itu.

Tambang rendah AirAsia

Sementara itu, AirAsia menawarkan tambah tetap RM99 sehala untuk laluan terpilih di Semenanjung Malaysia dan RM149 sehala untuk laluan antara Kuala Lumpur dan Kuching bagi penerbangan tambahan ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, tambang murah ini ialah untuk penerbangan lewat malam laluan terpilih dari 12 Jun hingga 19 Jun 2018

Sumber: Dipetik dari www.beritaharian.com.my



Booking.com