Greece Bimbang Pelancong Terlalu Ramai

Lazimnya kedatangan ramai pelancong sangat dialu-alukan. Lain pula halnya dengan Greece. Negara pulau itu menerima lambakan pelancong sehingga membimbangkan pihak berkuasa.

Greece dijangka menerima sehingga 32 juta pelancong pada tahun ini, sekali gus mencatat rekod jumlah pelancong yang pernah diterimanya. Jumlah tersebut lebih tiga kali ganda populasi negara itu, dan angka tersebut dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang.

Sejak tiga tahun lalu, jumlah pelancong Greece bertambah dua juta orang setiap tahun. Pelancong dari negara China khususnya bertambah sekali ganda tahun lalu. Selain itu, semakin ramai pelancong dari negara-negara Asia lain juga mengunjungi Greece kerana keindahannya.

Tidak dinafikan industri pelancongan telah menyelamatkan negara yang hampir bankrap semasa berlakunya krisis mata wang Euro tidak lama dahulu. Malah kini, seorang daripada setiap lima orang penduduk Greece bekerja dalam sektor pelancongan, dan hampir suku daripada hasil tukaran asingnya adalah daripada pelancongan.

Bagaimanapun perkembangan positif dalam sektor pelancongan membawa kebimbangan mengenai kemampuan negara yang berkeluasan 76km persegi itu menampung keperluan sektor itu. Pihak berkuasa negara itu juga bimbang ia menjejaskan sumber alam dan infrastrukturnya, contohnya, penggunaan tenaga dan air meningkat dengan mendadak. Walaupun banyak loji air dibina, ia dijangka masih tidak akan mencukupi dalam lima tahun akan datang.

Selain itu, pembangunan infrastrukturnya juga tidak berkembang sepantas pertumbuhan dalam sektor itu. Ini membimbangkan pakar alam sekitar kerana kurang perhatian diberikan untuk membangunkan satu model pelancongan yang mapan.

Tahun lalu, dua juta pelancong ingin ke Pulau Cycladic dan ini memaksa Datuk Bandar Santorini mengehadkan hanya 8,000 pelancong yang menaiki kapal persiaran ke sana setiap hari.



Booking.com