IKTIRAF DONDANG SAYANG WARISAN BUDAYA DUNIA

KEMENTERIAN Pelancongan dan Kebudayaan mahu seni warisan berasal dari Melaka, Dondang Sayang, diiktiraf sebagai salah satu warisan kebudayaan tidak ketara dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Perubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Warisan Negara perlu memainkan peranan lebih serius agar pengiktirafan antarabangsa bagi seni warisan Dondang Sayang menjadi kenyataan.

Menurut Datuk Mas Ermieyati lagi, Jabatan Warisan Negara dan UNESCO sentiasa bekerjasama melalui usaha berterusan yang dilaksanakan. Misalnya, Malaysia telah berjaya mendapat beberapa pengiktirafan termasuk Melaka dan Pulau Pinang yang telahpun disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2008, disamping tapak Arkeologi Lembah Lenggong, Perak (tahun 2012).

Sementara itu, seni persembahan Mak Yong pula telahpun diiktirafkan di bawah butiran warisan tidak ketara oleh UNESCO sebagai ‘A masterpiece of the oral and tangible heritage of humanity‘ pada tahun 2005.

Sambung beliau, kami meletakkan harapan untuk mencalonkan Dondang Sayang dalam senarai wakil pada 2017, mudah-mudahan ia berjaya diterima dan diisytiharkan sebagai salah satu warisan tidak ketara dunia.

Teks ucapan Mas Ermieyati dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ad. Ghaffar Tambi ketika merasmikan Bengkel Pembinaan Keupayaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Melaka pada awal November lalu.