Indahnya Bumi Austria

Eropah merupakan lokasi percutian idaman yang pasti ada dalam senarai ramai orang. London, Paris dan Venice adalah bandar popular yang mungkin menjadi persinggahan pelancong ke Eropah.

Bagaimanapun, barangkali tidak ramai yang tahu tentang keindahan tempat-tempat menarik di negara Austria. Pemandangan negara yang terletak di tengah benua Eropah ini pastinya memukau. Vienna, Eungandorf, Salzburg dan Hallstatt antara bandar yang wajib disinggahi jika ke Austria.

Vienna

Perjalanan ke Vienna mengambil masa selama tiga jam memandu dari Budapest, Hungary. Vienna merupakan ibu negeri Austria yang terkenal sebagai `City of Music’ kerana ramai pemuzik terkenal termasuk Beethoven dan Mozart pernah tinggal di sini. Selain itu, bandar ini juga terkenal dengan seni bina unik dan menarik serta deretan bangunan-bangunan klasik.

Anda juga boleh melawat ke Schonbrunn Palace yang merupakan tempat kediaman kerabat Hapsburg pada satu masa dahulu. Istana ini dikatakan mempunyai 1,441 buah bilik dan mempunyai sebuah taman yang cantik. Dahulunya Schonbrunn Palace menjadi tempat persinggahan kerabat diraja pada musim panas.

Salzburg

Bandar Salzburg terletak berhampiran sempadan Jerman iaitu lebih kurang tiga jam perjalanan dari Vienna. Bandar kecil yang mempunyai banyak cerita dan sejarah lama ini sememangnya menakjubkan dengan dikelilingi pemandangan pergunungan Alps Timur.

Jika bersiar-siar di bandar ini, anda boleh melawat Mirabell Palace yang cukup terkenal dengan keindahan tamannya. Jangan lupa singgah ke Makartsteg Bridge, atau dikenali juga sebagai lovelock bridge, yang merupakan tempat orang meluahkan rasa cinta.

Selain itu anda boleh melawat ke Hohensalzburg Palace, sebuah istana yang terletak di atas bukit. Harga tiket masuk ke sini adalah €15.20 di mana para pelawat perlu menaiki kereta kabel untuk ke sampai ke atas. Istana ini merupakan salah satu istana lama terbesar di Eropah dan telah dibina bermula tahun 1077 sebelum dibesarkan serta dibaik pulih oleh pemimpin seterusnya.

Istana ini dibina dengan penuh kemewahan  oleh raja terdahulu yang mahu menunjukkan kekayaan dan kemegahan mereka sehinggakan cat bilik tidur juga ditempah khas dan memerlukan proses tersendiri.

Eugendorf

Daerah Eugendorf terletak 10 km ke timur laut Salzburg. Di kiri dan kanan anda boleh menikmati pemandangan hijau bukit bukau dan perumahan tradisional di kaki gunung. Keindahan alam semula jadi di sana pastinya akan kekal dalam ingatan.

Jangan lepaskan peluang untuk merakamkan gambar-gambar terbaik anda di sana. Atau mungkin anda boleh mendekati penduduk Eugendorf untuk tahu lebih lanjut tentang cara hidup mereka.

Hallstatt

Hallstatt merupakan sebuah perkampungan kecil yang terletak berdekatan dengan sebuah tasik, Hallstatter See. Tempat ini terkenal kerana terletaknya lombong garam pertama di dunia, Salzwelten.

Anda perlu menaiki kereta kabel untuk sampai ke sini kerana kedudukannya yang berada di atas bukit. Tasiknya sangat luas. Apabila berada di sekitar tasik anda dapat melihat itik dan angsa berenang-renang di permukaan. Airnya juga jernih dan bersih. Di sini juga terletaknya World Heritage View yang merupakan tempat tumpuan pelancong di mana anda boleh melihat keseluruhan Hallstatt dari atas.


ARTIKEL KIRIMAN ANNATHE KHAYALAN INI PERNAH DISIARKAN DALAM MAJALAH HIJAB FESYEN.