Jadi sukarelawan sambil melancong ke Sabah

Sabah melalui Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah, telah mengetengahkan produk pelancongan sukarelawan – voluntourism, bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Pengarahnya, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, sektor pelancongan baharu itu mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih serius.

Menurutnya, sebagai permulaan, MOTAC giat mempromosikan voluntourism pada pemuliharaan hidupan laut di Sabah kerana mempunyai lokasi menarik industri selaman selain turut dikenali sebagai salah satu daripada lima tapak menyelam terbaik di dunia.

“Pelancong bukan sahaja datang melihat keindahan alam tetapi juga menjadi sukarelawan memulihara habitat terumbu karang, menanam tukun tiruan, selain melakukan kerja-kerja pembersihan laut,” katanya ketika sidang media Program 1Voluntourism Penanaman Tukun Tiruan di Pulau Bum Bum: End in Sipadan di ND Divers, pada 27 Julai lalu.

Penanaman tukun itu hasil kerjasama MOTAC dan Persatuan Pengusaha Backpackers Sabah (SBOA), ND Divers serta 30 sukarelawan termasuk penuntut Kolej Komuniti Mara Semporna.

Kesemua mereka berada di ND Divers selama empat hari tiga malam bagi menjayakan projek berkenaan.

Sebelum ini, projek pelancongan sukarelawan seperti ini telah diadakan di Mari-Mari Resort, Sepanggar pada April lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong terutamanya para penyelam.

Tukun tiruan tradisional dibina di Pulau Bum-Bum menggunakan 150 batu-bata dan lumpur serta simen sebagai usaha memulihara ekosistem laut seperti yang dilakukan di Mari-Mari Resort, Sepanggar.

Kepada pihak yang berminat untuk melancong dan sambil menjadi sukarelawan di Sabah, anda boleh menghubungi Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Sabah untuk maklumat lanjut.