JIWA TERUJA DI TADOM HILL RESORTS

DESTINASI yang cukup mengujakan! Flora yang menghijau serta ketenangan air tasik buatan yang jernih pasti meruntun jiwa anda untuk segera menikmati keindahan dan kedamaian yang terhampar di sini.

Saat menjejakkan kaki di Tadom Hill Resorts yang dikelilingi pemandangan bukit bukau batu kapur yang tersergam indah ini, bukan sahaja membuat anda terpana seketika bahkan anda pasti terlupa sejenak dengan suasana hiruk pikuk ibu kota.

Lokasinya tidaklah terlalu jauh buat penghuni kota. Dengan jarak masa hanya 45 minit dari Kuala Lumpur, Tadom Hill Resort yang terletak di Banting, Selangor ini adalah destinasi paling strategik. Bahkan jaraknya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya sekitar 12 minit sahaja.

Bagi pencinta alam sekitar, anda pasti teruja dengan kemudahan yang tersedia di sini. Biarpun masih dalam proses menambah baik infrastruktur yang sedia ada, namun segala-galanya tersedia di sini. Bukan sahaja sesuai untuk sesi bersama rakan-rakan, bahkan ia juga sesuai untuk seisi keluarga.

Resort ini mempunyai keluasan hampir 40 ekar dan hampir kesemua struktur binaan yang terdapat di Tadom Hill Resort menggunakan buluh. Pemilihan buluh adalah bagi memastikan pengunjung lebih segar memandangkan pokok buluh mampu menyumbangkan 30 peratus oksigen berbanding tanaman lain.

Bagi penggemar aktiviti lasak, pelbagai aktiviti menarik menunggu para pengunjung di sini. Antaranya aktiviti air dan darat seperti platform menyelam, kerusi terapung (lexies), buai air, tarzan, rumah pokok, barbeku, permainan bola pantai, polo air, kem jati diri dan banyak lagi. Bagi anda yang inginkan aktiviti yang lebih seronok serta mencabar, rakit buluh menanti untuk didayung selain daripada aktiviti mendaki bukit dan banyak lagi yang cukup mencabar.

Tidak sah percutian anda andai tidak merasai suasana malam di sini. Ketenangan malam di sini pasti membawa anda terbuai-buai dalam mimpi yang indah. Keunikan chalet buluh seperti Tadom Bamboo Suites dan Gendui cukup mengasyikkan. Jika inginkan suasana malam yang lebih santai anda juga boleh memilih untuk tidur di dalam buaian (hammock) mahupun khemah-khemah comel yang selesa.

Apa tunggu lagi. Bagi anda yang ingin merasai dunia sebenar alam semula jadi lawati laman www.tadomhillresorts.com bagi mendapatkan maklumat terkini. Semoga percutian Tahun Baru 2017 anda membawa memori yang cukup menggembirakan terutamanya bersama yang tersayang. Selamat bercuti!

Foto: Shahril Azman Zain