Jun 2017 Peluang Akhir Guna Titian Kanopi Frim

Selepas 25 tahun menjadi permata tarikan pengunjung ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong, Kuala Lumpur, Titian Silara akan dihentikan perkhidmatannya pada 30 Jun 2017.

Titian kanopi sepanjang 150 meter ini mula dibina pada 1992 untuk penyelidikan saintifik flora dan fauna. Ia dipasang pada ketinggian 30 meter dari tanah menggunakan sistem kabel dan kayu. Pengunjung yang menggunakan laluan ini dapat menyaksikan keindahan hutan hujan tropika yang tidak terusik di Hutan Simpan Bukit Lagong, sambil diteduhi daun-daun pokok yang cukup indah.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod, pokok yang menjadi sokongan titian kanopi ini tidak sihat dan berisiko untuk menampung beban struktur titian serta beban pengunjung.

Titian kanopi ini mengalami kerosakan teruk akibat pokok tumbang selepas hujan ribut dan telah ditutup sejak 13 Oktober 2016 selepas sebatang pokok tumbang. Usaha pemulihan dilakukan dan ia dibuka semula pada April 2017, dengan jumlah pengunjung dikurangkan daripada 250 orang kepada 60 orang sehari demi memastikan keselamatan serta kelestarian sistem titian kanopi itu.

Penutupan titian kanopi ini akan memberi ruang kepada FRIM untuk menyelenggara dan menilai aspek keselamatan kemudahan ini serta pemulihan persekitarannya. Hasil kajian itu nanti bakal menentukan sama ada titian kanopi tersebut boleh digunakan lagi atau direhatkan.

Bagaimanapun, FRIM sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM3.5 juta untuk membina sistem titian baru yang diperbuat daripada kerangka aluminium, yang panjangnya lebih sekali ganda titian asal iaitu kira-kira 300m hingga 500m.

????????????????????????????????????