Keindahan Sapa, Hanoi Bagai Poskad

SEBAGAI seorang yang suka mengembara dari sebuah negara ke negara lain, Siti Hasniza Abdul Halim sentiasa mencari peluang sebagai memenuhi perumpamaan ‘Jauh berjalan, luas pemandangan’.  Pada kesempatan percutian kali ini, wanita bertubuh kecil namun berjiwa besar ini memilih Hanoi, Vietnam.

Sekalipun Vietnam bukan lagi asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia sebagai syurga membeli-belah namun Siti Hasniza lebih berminat untuk meninjau suasana luar bandar yang jauh dari arus pembangunan.

Pilihannya ialah Sapa, sebuah pekan kecil nun jauh ke utara Vietnam, berhampiran sempadan negara China. Sapa yang dikelilingi banjaran gunung Hoang Lien Son merupakan antara destinasi pelancongan paling popular dengan keindahan alam semulajadi khususnya teres-teres sawah padi yang menghijau, damai lagi nyaman. Siti Hasniza memilih pakej keretapi ke Sapa selama dua hari satu malam.

Indah Bagai Poskad

Ketibaan di lapangan terbang Noi Bai, Hanoi disambut oleh wakil pakej syarikat pelancongan. Saya dan rakan-rakan bertolak menaiki keretapi dengan kemudahan tempat tidur ke Lao Cai, Sapa pada 9 malam dan tiba di destinasi pada waktu pagi.

Selepas bersarapan pagi, kami memulakan aktiviti ‘trekking’ menuruni lembah menuju ke Sungai Muong Hoa dan meneruskan perjalanan ke perkampungan Black H’mong , Lao Cai.

Sapa dihuni dihuni beberapa kaum minoriti yang kaya dengan adat-resam budaya masing-masing. Black H’mong adalah antara etnik minoriti terbesar. Seterusnya kami melawat ke penempatan kaum Zay dimana rumah mereka diperbuat daripada kayu dan buluh, berlantaikan tanah liat.

Kebanyakan masyarakat di sini adalah golongan petani. Kalangan wanita dewasa menyara hidup dengan membuat produk kegunaan harian buatan tangan sulaman atau kait seperti pakaian, beg selempang dan selimut untuk dijual pada pelancong. Mereka boleh berbahasa Inggeris namun anda harus berhati-hati kerana anda bakal dikerumuni para penjaja barangan lain. Sementara kanak-kanak pula menjual ‘trinket’ dan mereka sering berjalan kaki selama beberapa jam daripada desa-desa sekitar.

Pengembaraan ke kawasan pendalaman Sapa diteruskan sehingga ke dasar lembah Sapa. Kami sempat berhenti untuk makan tengahari. Setelah merakam gambar kenangan di tengah lembah pergunungan ini, kami kembali ke pekan Sapa menaiki jeep.

Aktiviti trekking sejauh 10 km diteruskan keesokannya untuk melawat dua lagi perkampungan etnik Black H’mong (Catcat dan SinChai). Kami sempat singgah ke sebuah air terjun yang cantik dan melawat stesyen hidroelektrik yang membekalkan tenaga kepada perkampungan yang ditubuhkan semasa penjajahan Perancis dahulu. Panorama indah hutan dan sawah padi bukit serba hijau begitu mengasyikkan, mengimbau kenangan silam di perkampungan Melayu tahun 1960-an…

Kami kembali ke pekan Sapa untuk kali terakhir sebelum pulang menaiki keretapi ke bandar Hanoi, pemandangan luar suasana desa yang damai pasti membuatkan anda leka… Sempat juga meninjau pasar dan membeli sedikit buah tangan produk buatan tangan masyarakat tempatan. Di sini juga terdapat sebuah taman bunga di pergunungan HamRong.

Uniknya mengenai pekan Sapa ialah ia mengalami empat musim dalam satu hari! Waktu pagi yang dingin, suhu nyaman musim bunga sebaik matahari terbit dan panas pada waktu tengahari serta waktu malam yang sangat dingin serta berkabus tebal. Seeloknya anda memakai ‘poncho’ dan but getah  yang boleh disewa dari kedai-kedai bagi memudahkan pengembaraan anda di sawah-sawah padi dan mendaki bukit-bukau. Sekalipun bulan Ogos kerap hujan pada sebelah pagi namun ia dikatakan waktu panorama paling indah!