Keistimewaan Etnik MAH MERI

Oleh      : Nur Amirah Tuah
Foto       : Azlina Othman

Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey, Klang, Selangor menjadi salah satu lokasi penempatan kaum Mah Meri yang masih kekal sehingga kini. Mah Meri membawa maksud Orang Hutan. Mah adalah orang manakala Meri bererti hutan. Selain itu, mereka turut dikenali sebagai Orang Laut dan juga Besisi.

Kebanyakan masyarakat di sini bekerja sendiri sama ada terlibat dalam bidang pertanian, seni ukir, anyaman mahupun menjadi nelayan. Walau bagaimanapun, ada di antara penduduk yang berkhidmat dalam bidang perusahaan di bandar.

Suku Mah Meri menyambut mesra kedatangan pengunjung ke Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun

Sebagai sebuah masyarakat yang telah lama wujud di Malaysia, kaum Mah Meri turut memiliki budaya yang tersendiri. Ini termasuklah tarian, seni ukir, bahasa dan adat yang diamalkan sejak zaman nenek moyang mereka.

Antaranya tarian Jo-oh yang merupakan seni tari terkenal dan sering dipersembahkan pada setiap upacara yang diraikan suku Mah Meri. Menariknya, pengunjung yang hadir ke perkampungan mereka turut disajikan dengan persembahan tersebut. Lebih mengagumkan, tarian ini sudah pun dipertontonkan di negara-negara luar seperti Jerman, Morocco, London, Thailand dan banyak lagi.

Tarian Jo-oh dipersembahkan dalam setiap upacara yang diraikan oleh kaum Mah Meri
Selain penari, tarian Jo-oh turut disertai beberapa individu yang memainkan muzik

Keunikan kaum Mah Meri terus dipamerkan menerusi seni ukir penduduk dalam pembuatan patung pelbagai saiz. Hasil kraftangan menunjukkan bakat yang dimiliki kumpulan pengukir begitu kreatif dan menarik. Betapa tidak, proses pengukiran sejak dari awal hingga selesai dilakukan hanya menggunakan tangan dan tidak melibatkan sebarang mesin. Hasilnya benar-benar mengagumkan. Malah, mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2005.

Pelbagai bentuk patung direka berunsurkan haiwan seperti buaya, harimau dan naga. Mereka menggunakan kayu-kayan yang diambil dari hutan untuk dijadikan sebagai bahan mentah utama. Antaranya kayu nyireh batu yang ditunjukkan semasa sesi pengukiran. Bagi mendapatkan sumber berkenaan, mereka perlu berdepan dengan beberapa cabaran lain.

Seni ukir etnik Mah Meri telah menerima pengiktirafan daripada UNESCO

Proses membawa keluar kayu dari hutan memerlukan masa selama berhari-hari. Tiada kenderaan digunakan sebagai pengangkutan dan mereka hanya berjalan kaki untuk sampai ke destinasi. Kini penduduk berdepan dengan kesulitan lain di mana sumber bekalan kayu mentah semakin sukar untuk diperoleh. Hal itu menyebabkan boneka yang dihasilkan lebih kecil berbanding suatu ketika dulu.

Sebagai makluman, saiz boneka paling kecil dijual dengan harga RM300. Sementara harga patung boleh mencecah sehingga ribuan ringgit mengikut bentuk dan cara pembuatannya yang rumit. Selain patung semangat, mereka turut menghasilkan sangkar, kerusi dan pelbagai barangan lain mengikut permintaan individu.

Anda boleh berkunjung ke Pusat Kraf Orang Asli Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor bagi mengetahui maklumat lanjut tentang perkampungan budaya suku Mah Meri dan rasai sendiri pengalaman mengenali kehidupan salah satu etnik yang wujud di Malaysia.

Suku Mah Meri merupakan etnik yang memiliki cara hidup dan budaya yang unik


Booking.com