Kembara Dinie Shazwi

BERBEKALKAN semangat ingin berbakti kepada masyarakat, Mohd. Dinie Shazwi Abdullah, 31, memberanikan diri memulakan ‘Kembara Inspirasi Si Miskin’ pada 1 Mac 2017 lalu bagi membuka mata masyarakat mengenai kehidupan anak-anak tahfiz di seluruh negara.

Dinie melakukan kembara solo selama tiga bulan bagi menyelami kehidupan anak-anak tahfiz.

Kembara bermotorsikal secara solo selama lebih tiga bulan itu bakal berakhir pertengahan Jun nanti iaitu sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri. Melalui kembara solo ini, Dinie akan singgah di pusat-pusat tahfiz di sepanjang perjalanan bagi melihat sendiri kehidupan sebenar anak-anak tahfiz ini.

Secara jujur, Dinie mengakui beliau berasa amat kasihan apabila mengetahui ramai anak-anak tahfiz terpaksa mengemis untuk mendapatkan derma daripada orang ramai selain terpaksa menjual produk barangan tertentu bagi meneruskan kelangsungan pengajian agama di sekolah tahfiz masing-masing.

“Jadi melalui Kembara Inspirasi Si Miskin ini saya akan cuba menyelami kehidupan sebenar anak-anak tahfiz yang jarang diketengahkan oleh pihak media. Saya akan singgah selama dua atau tiga hari di sesebuah sekolah tahfiz dan menulis kehidupan anak-anak tahfiz yang saya lihat dalam blog saya ‘dinieshazwi.blogspot.com,” katanya kepada Wow Malaysia.

Perjalanan pertama Dinie bermula dari  Felda Palong 2 di Segamat Johor menuju ke Masjid Jamek Sri Petaling di Kuala Lumpur. Seterusnya, singgah di Teluk Intan dan seterusnya ke Ipoh, Alor Setar dan Perlis. Dinie seterusnya akan ke Pantai Timur  melalui Lebuh raya Pantai Timur,  beliau akan menuju ke Temerloh Pahang.

Dinie akan singgah di sekolah-sekolah tahfiz yang banyak terdapat di sekitar Pulau Tawar, Jengka, Jerantut dan Temerloh sebelum menuju ke Terengganu dan Kelantan, seterusnya akan berakhir di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Melalui kembara selama lebih tiga bulan itu Dinie turut mempunyai misi tersendiri bagi mencari keredaan Allah selain mendalami ilmu-ilmu agama dan memantapkan lagi bacaan al-Quran. Selain menyelami kehidupan anak-anak tahfiz di seluruh negara, jangka masa selama lebih tiga bulan kembara bermotorsikal itu juga akan dihabiskan Dinie bagi melakukan kerja-kerja amal di masjid dan surau seperti menyapu sampah, mencuci tandas, menjadi muazzin dan sebagai imam sembahyang tarawih pada bulan Ramadan nanti.

Menceritakan lebih lanjut mengenai kembara solonya, Dinie mengakui beliau memilih untuk melakukan ‘Kembara Inspirasi Si Miskin’ ini hasil inspirasi kehidupannya sendiri yang sememangnya datang dari golongan susah.

“Bagi mereka yang hidup susah, kecewa dengan kehidupan sekarang, saya mahu mereka bangkit semula  berusaha mencapai impian hidup masing-masing,” beritahu Dinie lagi yang pernah tular di media sosial sepanjang tahun lalu hasil perkongsian nostalgia bersama ayahnya.

Impak positif LIMA 2017

Ruang angkasa Langkawi, Pulau Legenda yang sering dikaitkan dengan kisah legenda sumpahan Mahsuri, si wanita berdarah putih sekali lagi digegarkan dengan deruman […]