KU TAWAN PUNCAK RINJANI!

18 JAM – itu tempoh masa pendakian menuju ke puncak gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia ini. Sememangnya, bukan mudah menakluki puncak Gunung Rinjani ditambah dengan bebanan menggalas beg seberat 10 kilogram di bahu, mengerah kudrat penulis semaksimumnya.

Ditemani empat orang rakan bersama seorang guide dan empat orang porter, kami terpaksa mengharung laluan bukit bukau dan kebun-kebun sayur penduduk tempatan. Merentasi hutan lalang seperti hutan savannah di Afrika serta hutan pokok pine yang diselubungi kabus tebal ternyata bukanlah satu tugas yang mudah.

Pada sebelah malamnya pula, suhu yang mencecah hampir 8 darjah Celsius seakan menggigit-gigit hingga ke tulang walau telah dibalut dengan tiga helai baju tebal. Terlalu sejuk terutama apabila angin kuat datang menyapa.

Trek laluan yang hanya selebar kurang satu meter, pendakian kami diterangi lampu suluh dan cahaya bulan mengambang memaksa langkah diayun dengan cukup berhati-hati. Di kiri kanan laluan adalah gaung yang sangat dalam. Tersilap langkah buruk padahnya.

Pendakian semakin sukar terutamanya ketika melalui laluan penyesalan iaitu 400 meter sebelum sampai ke puncak gunung yang seperti empat kilometer jauhnya. Di laluan inilah sebenarnya kemuncak cabaran paling sukar bagi sesiapa yang ingin berdiri di puncak Rinjani.

Dengan laluannya yang mencanak setinggi 70 darjah, setiap tiga atau empat langkah yang diayun sama seperti hanya satu langkah sahaja. Sangat sukar kerana permukaan tanahnya yang peroi berpasir seperti pasir di pantai, membuat kaki penulis terjerlus dan menggelongsor ke bawah. Ditambah habuk pasir yang sesekali singgah di mata dan udaranya yang menipis, menyukarkan lagi pendakian ini.

Inilah antara cabaran dan pengalaman manis yang terpaksa penulis tempoh untuk berdiri di puncak gunung berapi ini. Suatu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila dapat berdiri di puncak gunung Rinjani.

Gunung yang mempunyai ketinggian 3,726 meter daripada aras laut ini cukup terkenal di kalangan pendaki kerana masih aktif, dengan bentuk muka buminya yang mencabar sesiapa sahaja untuk berdiri di puncaknya.

Pemandangan daripada puncak gunung sungguh menakjubkan. Dari sini pendaki dapat melihat kawah gunung yang dilitupi dengan tasik yang menghijau. Di tengah tasik pula terdapat satu lagi gunung iaitu Barujari, yang menjadi pusat gunung serta masih mengeluarkan asap sulfur dari perut bumi.

Penulis (tengah) di puncak Gunung Rinjani.

Bagi penulis, kepuasan menikmati pemandangan di puncak gunung ketika itu dirasakan berganda-ganda. Bukan sahaja dapat melihat matahari terbit dari atas puncak Rinjani, bahkan juga diberi peluang menikmati keindahan gerhana bulan serta bulan mengambang sepanjang pendakian ke puncak, menjadikan ia pengalaman terlalu mahal.

Gunung yang menjadi pasak bagi pulau yang terkenal dengan jolokan Pulau Seribu Masjid ini hanya dibuka awal bulan April hingga September setiap tahun. Bagi mereka yang sukakan aktiviti pendakian dengan cabaran serta pemandangan yang menarik, Gunung Rinjani Lombok adalah destinasi terbaik.

PENULIS: Mohd Azrin Wahid