Kuala Berang Ecofest Promosi Tarikan Sungai Kodok

Kuala Berang Ecofest 2.0 berlangsung baru-baru ini membawa suasana cukup ceria dan menghiburkan melalui kehadiran dan penglibatan masyarakat setempat dalam pelbagai kegiatan yang diadakan.

Festival itu menukar seketika suasana sunyi dan mendamaikan sekitar Paloh Sungai Kodok, Kampung Langgar di kawasan yang dilatari kawasan pertanian di samping kebun dengan kehadiran hampir 2,000 pengunjung.

Program anjuran Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang itu merupakan susulan daripada kejayaan program pertama pada 2014.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, program ini melibatkan penyertaan 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN berkenaan.

Program santai yang mengeratkan lagi silaturahim itu dimeriahkan dengan 25 acara termasuk sukan rakyat, berkayak dan memancing dan berjaya menarik penglibatan ramai untuk turut serta.

“Acara tradisional lain termasuk pukul bantal pula mampu menggamit kenangan dan pe­nga­laman baru kepada generasi muda,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Jelasnya lagi, lokasi itu dipilih berikutan Sungai Kodok, Kampung Langgar dan sekitarnya sangat menarik dan mampu menjadi produk ekopelancongan terbaharu di Hulu Terengganu.

“Kawasan tersebut terletak di perkampungan tradisional dengan keistimewaan alam semula jadi yang mencorakkan landskap menarik. Ada kebun duku, sungai, kebun jagung dan sawah yang mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.