Kuala Sepetang selamat dikunjungi, bebas wabak Anjing Gila

       Kerajaan Negeri Perak memberikan jaminan bahawa Kuala Sepetang yang sebelum ini diisytiharkan sebagai kawasan wabak anjing gila atau Rabies, kini selamat dikunjungi.

     Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Integrasi Nasional Kampung Baharu Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perkara itu diumumkan selepas kesemua 43 sampel kepala anjing yang dihantar untuk ujian makmal disahkan negatif Rabies.

    Bagaimanapun, jelasnya, kawalan dan langkah-langkah pencegahan masih dilakukan dan pewartaan kawasan itu juga masih kekal sehingga kesemua proses serta prosedur yang ditetapkan dipatuhi.

    “Kuala Sepetang dikeluarkan dari Indeks Penyakit Wabak kepada Indeks Penyakit Kawalan. Justeru, pelawat atau pelancong boleh datang pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabatnya, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada 7 Ogos lalu.

  Hadir sama Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, Dr Fuziah Muhayat.

      Sebelum ini, JPV Perak telah menerima aduan pada 13 Julai 2017 daripada seorang pemilik haiwan dari Kuala Sepetang berkaitan seekor anjing miliknya telah mati selepas sembilan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya.

  Anjing berkenaan disahkan positif Rabies namun dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia 11 dan 12 tahun itu bebas dari sebarang jangkitan penyakit berkenaan.