Laluan MRT Semantan-Kajang bermula Julai

Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua dari Semantan ke Kajang sejauh 30 kilometer melibatkan 19 stesen dijangka beroperasi sepenuhnya Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman berkata, ia adalah kesinambungan laluan fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan yang beroperasi Disember tahun lalu.

Jajaran MRT dari Semantan ke Kajang membabitkan 19 buah stesen iaitu Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange, Cochrane, Maluri, Taman Permata, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11 Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Projek MRT Lembah Klang melibatkan pembinaan jaringan pengangkutan awam yang berasaskan rel, yang akan berintegrasi dengan sistem-sistem transit aliran ringan atau light rail transit (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit. Sistem-sistem pengangkutan rel ini akan menjadi tulang belakang perkhidmatan pengangkutan awam kawasan Greater Kuala Lumpur/ Lembah Klang.

Projek MRT Lembah Klang merupakan satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, salah satu daripada 12 NKEA yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP). Program ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.

Dengan adanya MRT di Lembah Klang, sasaran untuk menjadikan 50% daripada kesemua perjalanan yang dilakukan di kawasan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang dengan menggunakan pengangkutan awam dapat dicapai.