LANJUT BEACH & GOLF RESORT MENDAMAIKAN…

TERLETAK di Kuala Rompin, sempadan Johor-Pahang di pantai timur Semenanjung Malaysia, pusat peranginan yang damai dan indah ini menanti tetamu untuk diterokai. Pusat peranginan Lanjut Beach & Golf Resort ini menawarkan pelbagai pilihan bilik penginapan mengikut kesesuaian aktiviti sama ada bagi golongan syarikat korporat mahupun percutian keluarga.

Terkenal dengan keindahan alam semula jadi Taman Negeri Endau Rompin dan dikelilingi oleh flora fauna yang berusia lebih 130 juta tahun, Lanjut Beach & Golf Resort ini juga memperlihatkan pemandangan damai pantai berdekatan.

Pantai persendirian yang putih dan bersih sepanjang 3.5km menambah keindahan flora fauna seluas 500 ekar disekeliling pusat peranginan ini. Tetamu pastinya akan terpegun dengan hirupan udara segar yang jauh daripada kesibukan kehidupan kota.

Lanjut Beach & Golf Resort – West Wing, terdapat 86 unit bilik terdiri daripada kategori ‘Deluxe’, ‘Lanai’, ‘Chalet’, ‘Villa’ dan ‘Suites’. Manakala, Lanjut Beach & Golf Resort – East Wing, menawarkan 196 unit bilik penginapan berkonsepkan moden kontemporari termasuk unit Studio Suite, Junior Suite dan Executive Suite.

Di samping itu, padang golf 18 lubang yang terletak bersebelahan resort berlatarbelakangkan pemandangan indah persisiran pantai menanti pemain. Selain itu, terdapat juga aktiviti pantai dan memancing, trek larian, berbasikal, karaoke, bilik mainan, tenis, kunang-kunang dan mengutip kepah.

Penginap yang ingin memanjakan diri, resort ini menyediakan kemudahan asas rawatan spa sesuai bagi individu mahupun berpasangan. Dikelilingi oleh alam semula jadi dan disempadani oleh Laut China Selatan, ia membolehkan para penginap menikmati kedamaian sambil mendengar kicauan burung.

Bagi yang mengimpikan perkahwinan indah di tepi pantai, pasangan bahagia ini boleh merancang melangsungkan hari istimewa tersebut di Lanjut Beach & Golf Resort. Manakala, majlis makan malam perkahwinan ini boleh diadakan berhampiran kolam renang yang santai ataupun di pantai yang lebih privasi dan romantik. Bandar Kuala Rompin amat terkenal dengan sajian makanan laut segar terutama udang galah air tawar dan udang harimau air laut.

Lanjut Beach & Golf Resort dimiliki sepenuhnya oleh PNB Commercial Sdn Berhad (PNBC), anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Maklumat lanjut, sila hubungi 09 – 415 8888 atau layari www.lanjut.my