Malindo perkenal Penerbangan Terus Taipei-Kota Kinabalu-Labuan

Para pelancong dari Taipei, Labuan dan Kota Kinabalu bakal menikmati khidmat penerbangan yang lebih selesa apabila Malindo Air memulakan penerbangan terus antara tiga buah bandar itu bermula Julai ini.

Penerbangan sewa khas tersebut bakal beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu selama tiga bulan dari Julai hingga September 2017.

Laluan baru perkhidmatan Malindo Air ini dijangka dapat meningkatkan industri pelancongan Labuan yang merupakan pusat kewangan antarabangsa luar pesisir pantai tunggal di Malaysia.

Pengenalan laluan baru Malindo Air ini diumumkan oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli pada majlis penutup Labuan International Sea Challenger 2017 pada 2 Mei lalu.