Mandi Di Bawah Pelangi

Air Terjun Pelangi yang terletak berhampiran dengan pekan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang mempunyai keunikannya yang tersendiri. Setiap hari, di antara jam 9.00 hingga 11.00 pagi, satu lengkungan pelangi akan muncul di hadapan curahan air terjun yang jatuh itu.

Dari segi saintifik, pelangi adalah salah satu fenomena optik yang terjadi secara alamiah di atmosfera bumi. Keadaan fizik pelangi dengan tujuh warna yang berbeza akan terhasil apabila berlakunya biasan cahaya. Pelangi biasanya muncul ketika hujan gerimis atau selepas hujan.

Suatu ketika dahulu, pelangi tidak dipandang sebagai suatu fenomena alam, tetapi ia dianggap sebagai suatu objek yang boleh membawa malang kepada manusia. Kebudayaan manusia telah mengaitkan kewujudan pelangi dengan pelbagai mitos aneh dan pelik.

Pesan orang tua, apabila terpandang pelangi, seseorang itu diharamkan untuk bercakap. Tidak boleh ditegur pelangi yang muncul itu kerana bimbang akan disampuk! Pelangi dikatakan sebagai seekor ular besar yang turun ke bumi untuk mencari makanan. Jaluran tujuh warna itu pula dikatakan sisik ular yang turun dari kayangan.

Selain itu, pelangi juga tidak boleh ditunjukkan menggunakan jari kerana bimbang akan menjadi kudung. Untuk mengelakkan terkena sumpahan tersebut, orang yang melihat hanya boleh menggunakan muncungnya untuk ‘menunjuk’ pelangi.

Mitos tersebut sedikit sebanyak telah menyebabkan seseorang, terutamanya kanak-kanak menjadi kecut perut. Pantang larang tersebut betul-betul di patuhi kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Tetapi, kepercayaan itu semakin beransur hilang dihambat arus pemodenan yang dibawa oleh sains.

Bagaimanapun, bagi penduduk di sekitar Sungai Lembing, Kuantan, Pahang, kewujudan pelangi yang mengiringi air terjun di kaki bukit Gunung Tapis, mempunyai mitosnya yang tersendiri.

Mengikut cerita legenda yang berkisar di kalangan penduduk asal di kawasan berkenaan, air terjun yang dianggarkan wujud sejak ribuan tahun itu menjadi tempat bersiram puteri bunian. Dikatakan, puteri tersebut akan ke kaki gunung itu untuk bermain curahan air ketika pelangi muncul. Ia berdasarkan cerita beberapa individu yang pernah melihat kelibat perempuan cantik yang diiringi dayang-dayang muncul ketika pelangi tersebut berlabuh.

Sehingga ke hari ini, pelangi tersebut akan terus berlabuh di aliran air terjun yang berketinggian kira-kira 500 kaki itu. Lengkungan pelangi yang berketinggian kira-kira dua meter dari paras air sungai seolah-olah sedang mendarat di tengah-tengah belantara negeri Pahang. Amat jelas dan amat cantik sekali. Satu persatu jalur warnanya yang bermula dari merah hinggalah ke ungu, dapat diamati dengan jelas.

Menjadi sesuatu yang unik apabila ia akan muncul setiap hari di antara pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi jika cuaca berada dalam keadaan cerah. Kemudian, pelangi tersebut akan beransur-ansur hilang apabila pancaran cahaya matahari semakin perit yang menandakan hari semakin meninggi. Jika langit dalam keadaan mendung atau hujan, tiada langsung  kelibat pelangi yang dapat dilihat. Disebabkan fenomena semula jadi itu, air terjun tersebut dikenali sebagai Air Terjun Pelangi.

Menurut Pengarah Urusan kelab kembara pacuan empat roda, Middle Earth, Marodzuan Abd. Ghani, koordinat air terjun itu yang strategik menghadap tepat ke arah matahari terbit menyebabkan pembiasan cahaya berlaku sehingga membentuk lengkungan pelangi yang cantik.

Setiap hari, pelangi tersebut akan muncul secara melintang merentasi air terjun itu. Apa yang menarik, lengkungan pelangi yang terbentuk itu sangat rendah dari permukaan air seakan mampu dicapai oleh tangan. Apakan daya, ia hanyalah satu objek maya yang hanya mampu dilihat, tapi tidak boleh disentuh.

Di kawasan air terjun itu, terbentuk seperti lengkungan kawah batu yang besar. Di sekitar kawasan kawah batu yang terdiri daripada batu padat itu, tidak terdapat pokok-pokok besar yang rimbun dan berakar tunjang, sebaliknya hanya dipenuhi oleh tumbuhan renek dan lumut-lumut hijau serta alga. Keadaan ini dilihat menjadi penyumbang kepada pembentukan pelangi kerana tiada pokok besar yang menghalang cahaya matahari.

Di antara pukul 9.00 dan 11.00 pagi, pancaran cahaya matahari berada di sudut strategik sehingga menyebabkan pembiasan cahaya berlaku melalui air yang mencurah dari Gunung Tapis itu. Kejelasan pelangi berada di tahap optimum ialah pada pukul 10.00 pagi kerana pancaran cahaya matahari berada pada sudut kira-kira 45 darjah yang memudahkan proses pembiasan cahaya yang membentuk spektrum cahaya.

Bagaimanapun, apabila pancaran cahaya matahari semakin menghampiri 90 darjah iaitu dalam keadaan matahari yang berada tegak di atas kepala, pelangi tersebut akan menghilang begitu sahaja. Ini kerana, pada ketika itu cahaya matahari tidak menghadap tepat ke arah air terjun, sebaliknya memancar secara selari yang menyukarkan proses pembiasan berlaku.

Untuk sampai ke lokasi air terjun itu, hanya terdapat laluan pacuan kereta empat roda dan trek meredah hutan yang memerlukan masa antara satu hingga dua jam, bergantung pada keadaan trek dan kepantasan berjalan.

Terdapat dua jalan masuk untuk ke Air Terjun Pelangi yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pekan ‘koboi’ Sungai Lembing itu. Satu di Kampung Kuala Kenau, manakala satu lagi pintu masuk terletak berhampiran dengan balai polis Sungai Lembing. Perkhidmatan sewa kenderaan untuk meredah hutan juga terdapat di situ untuk memudahkan pengunjung.

Untuk menikmati keindahan Air Terjun Pelangi yang merupakan antara air terjun tercantik di Malaysia, seseorang itu mestilah bertolak seawal pagi dari pekan Sungai Lembing supaya sampai ke destinasi pada waktu yang bersesuaian. Jika sedikit terlewat, pelangi tidak lagi kelihatan.

Sesiapa yang ingin ke sini boleh hubungi Middle Earth di talian 017-968 6878 atau 09-2669618.

Sumber: Majalah Infiniti/ Middle Earth