PAMERAN GAYA HIDUP MUSLIM LONDON

DUNIA fesyen Muslimah semakin berkembang pesat bukan sahaja dalam negara malah turut dialami di luar negara. Baru-baru ini, kotaraya London, United Kingdom, menyaksikan pengukuhan ukhuwah masyarakat Islam di sana menerusi penganjuran Pameran Gaya Hidup Muslim London. Pameran tersebut berlangsung dalam suasana eksklusif Olympia Central, London.

Pameran Gaya Hidup Muslim London selama dua hari ini menampilkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam London yang kebanyakannya terdiri dari bangsa Pakistan, Bangladesh dan Arab selain masyarakat tempatan Inggeris. Perlantikan Dato Bandar baru berbangsa Pakistan Sadiq Khan memperkasakan lagi kedudukan masyarakat minoriti Islam di kotaraya fesyen dunia ini.

Selain mempamerkan gerai-gerai produk halal merangkumi produk makanan, kelengkapan solat (tempat berwuduk moden), sekolah-sekolah berkonsep Islam, pameran seni dan pastinya, produk-produk fesyen Muslimah menjadi tumpuan pengunjung. Agensi penganjur acara dari Malaysia iaitu Moslema In Style telah dilantik sebagai rakan kongsi bersama pihak penganjur MLS Events Limited di London bagi mempromosikan beberapa jenama Malaysia terpilih untuk pendedahan pada komuniti Islam di London khususnya.

Sehubungan itu, seramai enam jenama fesyen Muslimah dari Malaysia berpeluang menampilkan himpunan produk fesyen mereka dalam pameran tersebut. Himpunan hijab Aidi Juma, Naelofar, Telekung Siti Khadijah, Rina Saleh dan tiga pemenang pertandingan fesyen anjuran MARA bertuah mempamerkan himpunan fesyen Muslimah kepada masyarakat Islam London. Selain gerai yang disediakan, mereka turut menyertai segmen peragaan fesyen yang telah berjaya mencuri perhatian para pengunjung.

Kemuncak acara Pameran Gaya Hidup Muslim London ialah konsert Sami Yusuf di The Phoenix Theater, London menghiburkan para penonton yang memenuhi dewan dengan lagu-lagu mengasyikkan memuji Tuhan termasuk puisi-puisi karangan penyair terkenal Rumi dengan iringan pemuzik menggunakan peralatan muzik tradisional. Sami merupakan anak kepada penyanyi 1970-an berbangsa Inggeris yang terkenal iaitu Cat Stevens atau nama Islamnya, Yusuf Islam.

Lebih menarik, wakil Moslema in Style iaitu Emy Yusliza turut menjayakan forum khas sebagai ahli panel bersama barisan empat peserta lain bagi membincangkan isu-isu terkini dunia Muslimah. Selain itu, Emy turut diundang menyertai program TV Women AM saluran Islam Channel UK bersama tiga calon lain, masing-masing dari London.

Emy berkongsi pendapat mengenai trend fesyen Muslimah di Malaysia semasa sesi forum
Datuk Noraini Ahmad turut hadir di ekspo tersebut

Yang pastinya, jenama-jenama fesyen dari Malaysia yang menyertai ekspo London Muslim Lifestyle ternyata berpuas hati dengan peluang produk mereka menembusi pasaran London.

Kehadiran delegasi Malaysia turut menerima perhatian dan sokongan wakil-wakil dari MATRADE serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke UK dan isteri di pameran tersebut. Syabas pada kumpulan jenama fesyen Muslimah dari Malaysia yang merebut peluang promosi di kotaraya fesyen London.