Pementasan legenda ‘Supirak’ sempena Pesta Sabah 2017

‘Supirak’, sebuah lagenda masyarakat Pitas bakal menemui peminat teater dalam Pesta Sabah 2017 yang berlansung di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Sabah.

Pesta anjuran Pelancongan Sabah itu akan berlansung selama tiga hari, bermula dari 5 hingga 7 Mei 2017 dan akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah,  Tun Haji Juhar Mahiruddin.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata teater muzikal Supirak itu akan dipersembahkan oleh kumpulan teater daripada daerah Kudat.

Supirak mengisahkan tentang seorang pemuda yang disumpah oleh ibunya sehinggakan kapal yang dinaikinya bertukar menjadi batu.

“Kisah Supirak ini hampir sama dengan Si Tanggang. Watak utama ialah Supirak yang merupakan ibu kepada Ragam. Kerana kecewa dengan sikap anaknya, Supirak telah menyumpah Ragam dan bahteranya menjadi batu.

“Sehingga kini, batu berkenaan masih terdapat di Pitas, iaitu sebuah pulau kecil yang menyerupai bentuk sebuah kapal,” katanya.

Pulau Batu Supirak. Dikatakan terdapat objek seperti manusia, tali, meja dan lain-lain yang telah bertukar menjadi batu.

Selain itu, Masidi berkata pada tahun ini, pesta itu mempunyai  sedikit kelainan berbanding tahun- tahun sebelumnya.

“Terdapat perubahan dalam program Pesta Sabah kali ini dimana julung kalinya pihak penganjur telah memperuntukan sehari iaitu pada 5 Mei 2017 khusus untuk persembahan orkestra dari Jesselton Philharmonic Orchestra.

“Persembahan orkestra ini dianggotai oleh anak jati negeri Sabah dimana sebahagian daripada mereka berasal dari kawasan luar bandar seperti Kota Marudu,”katanya.

Kepada anda yang berminat boleh mendapatkan tiket teater muzikal itu dengan harga RM 50 sahaja.

Maklumat lanjut, sila hubungi May Salitah di talian 017-8997423 atau email ke may@sabahtourism.com.