Pengalaman Paling Manis 15 Tahun Memancing

Kala sesetengah kaki pancing baru hendak memasang joran, Shaharel Mohd. Mokhtar telah berjaya menaikkan hasil tangkapan pertamanya dalam pertandingan memancing yang diadakan di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.

Ikan patin seberat 7.69 kg itu dinaikkan seawal pukul 8.34 pagi oleh pemuda dari Terengganu yang mempunyai pengalaman memancing selama 15 tahun. Bagaimanapun, ikan itu sudah cukup untuk menjadikan Shaharel juara Siri 2 Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2018 dan meraih wang tunai RM8,000 serta hadiah iringan.

Tak kalah gaya kala melontar tali pancing.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Salman Harun, yang menerima wang tunai RM3,000 untuk ikan patin seberat 7.29 kg, dan Tajudin Mohd. Nawi yang membawa pulang RM1,000 untuk ikan belida seberat 7.045kg.

Seramai lebih 700 orang menyertai pertandingan memancing JPKL Siri 2 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Oishi Green Tea dan Igloo-UFL  yang diadakan pada 29 April lalu. Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abd. Hamid.

“Kita mengalu-alukan kaki-kaki pancing dari luar Kuala Lumpur untuk datang menyertai JPKL dalam siri jelajah seterusnya,’’ ujar Hasliza.

JPKL Siri 3/2018 akan diadakan pada 29 Julai 2018 (Ahad) di Taman Tasik Permaisuri. Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman facebook: jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan  012-2846811.

Hasliza Abd. Hamid menyampaikan hadiah kepada para pemenang JPKL siri 2/2018 di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.
Stesen menimbang sentiasa menjadi tumpuan.


Booking.com