Perak bakal ada lapangan terbang baru

Perak bakal membina sebuah lapangan terbang baru yang mempunyai landasan sepanjang 3.5 kilometer bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dan industri di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri sudah membuat perbincangan awal, perincian serta penelitian berhubung perkara itu.

“Apabila (lapangan terbang) sudah pasti, saya akan umumkan, apa yang boleh saya sebutkan ia tidak jauh dari Ipoh dan tidak berhampiran dengan lapangan terbang yang sibuk seperti lapangan terbang Pulau Pinang.

“Kawasan itu agak luas, boleh menampung landasan sepanjang 3.5 kilometer bagi membolehkan pesawat besar (mendarat).”

“Kita telah mengenal pasti tempat itu cuma memerlukan beberapa penelitian termasuk melalui kerjasama pihak Kementerian Pengangkutan dan juga Jabatan Penerbangan Awam. Kita berharap ia mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan lokasi untuk membangunkan lapangan terbang baru itu mengambil kira faktor kawasan pertumbuhan ekonomi selain kedudukan muka buminya yang sesuai untuk pembinaannya.

“Kawasan itu agak luas, boleh menampung landasan sepanjang 3.5 kilometer bagi membolehkan pesawat besar (mendarat). Bukan hanya bagi tujuan pelancongan tetapi sektor industri seperti industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya lagi.

Selain itu, Zambry berkata kerajaan negeri juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara untuk menaik taraf Lapangan Terbang Hulu Perak bagi membolehkan pesawat kecil mendarat di situ.

Dengan penaiktarafan lapangan terbang itu ia sekaligus dapat membangunkan sektor pelancongan di Hulu Perak, khususnya dari Lenggong ke Pengkalan Hulu.