Selamatkah beg kabin anda?

Anda pastinya menyangka beg dalam kabin lebih selamat daripada beg yang didaftar masuk. Namun usah terlalai. Ada orang yang menggunakan kesempatan penerbangan yang lama (di mana kebanyakan penumpang pasti akan tidur) untuk menyelongkar beg yang disimpan dalam kabin. Lebih mudah bagi orang itu jika beg tersebut tidak mempunyai sebarang tanda yang boleh memudahkan pemilik mengenali begnya sendiri.

Elakkan kejadian itu berlaku pada anda. Berikut beberapa cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut.

  1. Tandakan beg

Beri beg anda satu tanda pengenalan yang unik bagi memudahkan anda mengenalinya. Sentiasa beri perhatian apabila ada orang membuka ruang simpanan kabin yang menempatkan beg anda.

  1. Lepasi pemeriksaan bersama-sama barangan

Ketika melalui tempat pemeriksaan, ada kalanya barisan penumpang yang diperiksa terlewat sedikit daripada barangan. Oleh itu, hanya letak barangan ke dalam ruang X-ray ketika anda sendiri akan diperiksa oleh petugas.

  1. Kumpulkan barang berharga

Letakkan pasport, barang berharga, dompet dan telefon di tempat yang mudah untuk anda periksa dalam beg yang dibawa masuk ke dalam kabin. Periksa tempat simpanan barang ini secara berkala supaya anda segera sedar jika ada barang yang hilang.

  1. Pilih ruang simpanan yang mudah dilihat

Biasanya kita akan menyimpan beg di ruang simpanan di bahagian atas tempat duduk kita. Sebenarnya tempat yang lebih baik untuk anda menyimpan barangan ialah di ruang simpanan yang bertentangan dari barisan tempat duduk anda. Ini memudahkan anda melihat ruang itu dan seboleh-bolehnya, elakkan menyimpan barang terlalu jauh dari tempat duduk anda.

  1. Sembunyikan poket beg.

Telangkupkan atau halakan bahagian bukaan beg ke bahagian dalam ruang simpanan. Ini menyukarkan individu yang mahu menyelongkar beg anda kerana dia terpaksa mengangkat beg itu atau membawanya keluar dari ruang simpanan.

  1. Timbus dompet dan wang anda

Simpan dompet anda di tempat yang sukar ditemui dalam beg yang anda bawa. Dalam pesawat, anda biasanya tidak perlukan dompet itu.

  1. Kunci beg anda

Ia mungkin menyusahkan anda sedikit, tapi dapat menjamin keselamatan kandungan beg anda.

  1. Tegur segera

Jika anda ternampak ada orang yang tersilap mengambil beg anda, segera tegur. Mungkin dia memang benar-benar tersilap, tapi apa pun, teguran anda boleh membuat orang sedar akan kejadian itu. Ini juga bakal memudahkan anda jika didapati ada barang anda yang hilang selepas itu.

  1. Pakai barangan berharga

Elakkan daripada membawa barang berharga ketika melancong, tapi jika barang itu sesuatu yang anda memang perlukan, pakainya atau bawa bersama anda. Begitu juga ubat-ubatan, dompet dan telefon. Cara ini lebih selamat daripada menyimpannya dalam beg.

Dipetik dari www.sleepinginairports.net