SKYWARRIOR Putrajaya Untuk Yang Kental!

JIKA anda memiliki ketahanan fizikal yang tinggi, suka akan cabaran dan aktiviti lasak, kini anda boleh menguji sehebat mana kekuatan dan daya fizikal anda di Skywarrior Rainforest Challenge di Skyrides Festivals Park, Presint 2 Putrajaya!

Cabaran ini bakal memberikan anda suatu pengalaman luar biasa yang cukup mendebarkan dengan pelbagai halangan dan rintangan yang perlu anda tempuhi bagi menyelesaikan cabaran tersebut. Caj yang dikenakan hanyalah RM20 bagi sekali kemasukan dengan cubaan tanpa had sehingga anda berjaya mengatasi kesemua halangan.

Jika dilihat dengan pandangan mata kasar, halangan tersebut seakan amat mudah dan pasti boleh dilepasi. Cuba dahulu, baru tahu. Silap-silap, seawal halangan kedua anda boleh gagal kerana Skywarrior ini amat menitik ketahanan bahagian atas tubuh badan.

Cabaran ini direka dengan kesukaran sentiasa ditingkatkan dari awal hingga akhir. Yang pasti, Skywarrior Rainforest Challenge bakal mencabar kecergasan, kekuatan badan serta ketajaman mental setiap peserta.

Antara halangan mencabar yang tersedia buat anda adalah seperti di bawah:

Halangan 1: Chelik Falls

Cabaran bermula di seksyen ini yang terdiri daripada beberapa platform condong. Peserta dikehendaki melompat dari satu platform ke satu platform lain secara berterusan. Jika jatuh, anda akan terjun basah ke dalam jurang. Tidak perlu bimbang kerana ada jurulatih di sana yang akan membantu anda keluar dari situ.

Halangan 2: Ulu Sepat Leap

Cabaran ini menguji kekuatan lengan, pergelangan tangan dan secara keseluruhannya bahagian atas badan anda. Anda perlu melepasi halangan ini dengan 17 bearing bersaiz tapak tangan yang tergantung di atas kepala.

Halangan 3: Marudi Crossing

Satu lagi halangan yang menguji kekuatan atas badan dengan anda perlu melepasi tangga menaik diikuti dan menurun hanya dengan menggunakan tangan sahaja. Kaki tidak dibenarkan diguna bagi halangan ini.

Halangan 4: Kinabalu Ferrata

Berkonsepkan tebing bukit, halangan ini terdiri daripada tiga bar yang memerlukan anda berpaut padanya dan merentasi dari satu bar ke hadapan. Ia tampak mudah, namun pada satu halangan terakhir, oleh sebab kaki anda tergantung di udara, risiko untuk terjatuh juga agak tinggi.

Halangan 5: Langkawi Walk

Di seksyen ini, para peserta perlu melepasi halangan yang dilihat seperti kayu tetapi sebenarnya plastik dan agak ringan. Para peserta perlu memaut dari satu batang ke batang lain dengan kekuatan tangan dan kaki amat diperlukan di sini.

Halangan 6: Kinabatangan Swing

Terkenal sebagai salah satu halangan yang paling mencabar dalam cabaran Skywarrior ini. Kinabatangan Swing terdiri daripada tali yang tergantung dari atas. Anda perlu berpaut dari satu tali ke tali yang lain sehingga tiba ke penghujung.

Halangan 7: Cameron Web

Seksyen ini memerlukan peserta untuk berayun pada tali tunggal dan merentasi jaring di mana mereka perlu memanjat untuk tiba di bahagian terakhir cabaran.

Halangan 8: Danum Valley

Selepas mengharungi 7 halangan yang mencabar, sudah pasti halangan terakhir ini semakin memenatkan. Mengambil konsep aksi skateboard, Danum Valley memerlukan para peserta mendapat momentum dan kelajuan pada masa yang sama bagi berlari dan melompat menuju ke arah tali pendek yang mereka mesti gunakan untuk menarik diri ke bahagian paling atas dan seterusnya menamatkan Skywarrior Rainforest Challenge ini.