Super Wi-Fi Dalam Pesawat Qatar Airways

PENUMPANG Qatar Airways bakal menikmati perkhidmatan Wi-Fi berkelajuan tinggi dalam pesawat. `Super Wi-Fi’ yang menggunakan teknologi Inmarsat GX Aviation sudah mula dipasang di semua pesawat baru Boeing 777 dan Airbus A350 milik syarikat penerbangan itu.

Langkah ini menjadikan Qatar Airways syarikat penerbangan pertama di wilayah Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) melabur dalam teknologi tersebut untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada para penumpangnya.

Penumpang yang menaiki pesawat berteknologi GX Aviation boleh menerima satu jam akses percuma `Super Wi-Fi’. Bagaimanapun mereka perlu membayar lebih jika ingin menggunakannya lebih lama.

Kemudahan baru ini pasti melonjakkan lagi tahap perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat penerbangan yang diangkat sebagai yang terbaik di dunia itu. Kemudahan melayari Internet, menonton video, dan menyemak media sosial dengan lancar itu juga merupakan satu lagi tambahan perkhidmatan lima bintang yang disediakan oleh Qatar Airways.

Syarikat itu telah memenangi beberapa anugerah, termasuk `Airline of the Year 2017’ oleh Skytrax World Airline Awards di Paris Air Show. Ini adalah kali keempat Qatar Airways mendapat pengiktirafan tersebut.

Selain itu, syarikat yang mempunyai lebih 200 pesawat dan terbang ke lebih 150 destinasi itu juga turut memenangi anugerah-anugerah lain seperti `Best Airline in the Middle East,’ `World’s Best Business Class’ dan `World’s Best First Class Airline Lounge.’



Booking.com