‘Glamping’ di Tanah Aina Fahad

LOKASINYA yang terletak di Ulu Dong, Raub, Pahang bersebelahan dengan tempat perkelahan Lata Jarum. Dengan keluasan lima ekar, Tanah Aina Fahad mula dibuka umum pada November tahun lalu.

TANAH Aina Fahad adalah pilihan lokasi percutian yang tepat bagi mereka yang cintakan alam semula jadi dan gemarkan aktiviti eko pelancongan. Lokasi percutian yang terletak di kawasan Ulu Dong, berhampiran dengan Lata Jarum di Raub, Pahang ini baru sahaja dibuka November lalu.

Ini merupakan kawasan tanah aina keenam yang diusahakan oleh Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil selepas Tanah Aina Farrah Soraya, Tanah Aina Farhana, Tanah Aina Fareena, Tanah Aina Azareena dan Tanah Aina Farouq.

Keunikan yang terdapat pada Tanah Aina Fahad adalah percutian berkonsepkan glamour camping iaitu ‘glamping’ yang pertama di Malaysia. Konsep glamping dipilih bersesuaian dengan lokasinya yang dikelilingi hutan simpan semula jadi. Selain dapat menghirup udara segar dan merasai ketenangan suasana kehijauan alam, pengunjung pasti berasa selesa tinggal di dalam khemah yang disediakan.

Penulis dan rakan-rakan media lain yang berpeluang menjadi tetamu Tanah Aina Fahad baru-baru ini telah merasai sendiri keselesaan berkhemah di sana. Pertama yang seumpamanya, Tanah Aina Fahad menyediakan sebuah khemah yang boleh dianggap mewah beralaskan rumput tiruan dan dipayungi pula dengan kanopi ini dilengkapi dengan kemudahan katil bujang, kipas, penyangkut baju, cermin, tuala dan rak kasut.

Pengunjung juga boleh bersantai di luar khemah yang tersedia meja dan kerusi khas sambil menghayati deruan air sungai yang mengalir deras bersebelahan tapak perkhemahan. Kemudahan lain seperti surau, dewan serbaguna, tempat memasak dan tandas juga turut disediakan.

Menurut Puan Sri Sabrina, Tanah Aina Fahad diusahakan dengan harapan dapat membuka mata masyarakat agar lebih menghargai khazanah alam dan hutan simpan yang sangat berharga di Malaysia agar ia terus terpelihara dan boleh dinikmati generasi akan datang.

“Malaysia miliki hutan yang paling cantik yang tidak terbanding dengan hutan di negara lain, tapi sayangnya kita tak hargainya. Sepatutnya kita lebih menghargai ekopelancongan kerana kita mempunyai sumber alam semula jadi yang tidak ternilai.”

Aktiviti yang menarik

Penulis dan rakan-rakan sempat menyertai beberapa aktiviti menarik dan mempelajari sesuatu yang baru selama berada di sana. Pada hari pertama, kami melakukan aktiviti orienteering di mana kami telah diajar menggunakan kompas dan perlu mencari beberapa checkpoint yang telah ditentukan oleh fasilitator berpandukan nilai bearing yang diberikan.

Kemudian, kami dibawa ke kawasan kampung untuk merasai kehidupan sebenar di sana, menjamah makanan tradisi mereka, berpeluang melihat dan mencuba sendiri cara-cara menoreh getah dengan betul seterusnya pulang ke kem dan merasai kesejukan air sungai di sana.

Sebelah malam pula adalah waktu untuk barbeku dan karaoke. Kemudian, membentuk bulatan di tengah-tengah cahaya api ‘camp fire’ yang telah dihidupkan untuk berkongsi kisah dan pengalaman masing-masing.

Keesokan hari pula setelah bersarapan pagi, aktiviti wajib iaitu jungle trekking berjalan lancar. Sepanjang meredah hutan dan merentasi sungai, terdapat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan liar yang sempat dilihat seperti pokok tongkat ali dan pokok petai.

Aktiviti terakhir yang kami ikuti adalah ‘water tubing’. Ini merupakan antara aktiviti paling menyeronokkan kerana setiap orang peluang merentasi sungai menggunakan ‘tube’ tayar disamping belajar teknik-teknik keselamatan dan mengawal gerakan semasa berada di dalam air.

Yang pasti, pengalaman dua hari dirasakan tidak puas kerana penulis berasa sangat seronok dan damai di kelilingi pokok-pokok hutan menghijau yang memberi oksigen jauh lebih bersih berbanding udara di Bandaraya Kuala Lumpur yang sudah tercemar dengan jerebu dan sebagainya.

Info Tanah Aina Fahad (BUAT KOTAK)

  • Bayaran RM100 seorang dikenakan untuk penginapan dua hari satu malam.
  • 20 khemah tersedia dan boleh memuatkan sehingga 150 orang dalam satu masa.
  • Makan dan minum perlu disediakan sendiri oleh pengunjung.
  • Kemudahan dan bahan untuk memasak akan disediakan mengikut permintaan.