TARIKAN DUNIA SERBA PUTIH SAPPORO, HOKKAIDO

PERANCANGAN teliti dibuat sejak tahun lalu agar percutian enam hari ke sebuah pulau peranginan yang terkenal dengan sukan luncur salji di negara matahari terbit pada hujung Februari 2016 berjalan lancar. Tambahan pula yang pergi adalah sekumpulan lima sepupu perempuan serta seorang rakan dan ini merupakan kali pertama kami menjejakkan kaki di pulau indah ini.

Setibanya kumpulan kecil kami di lapangan terbang New Chitose Hokkaido, Jepun pada jam 8.00 pagi, kami terus menuntut ‘parcel’ poket WiFi yang dibayar online di pejabat pos. Perkhidmatan ini memudahkan kami berlima untuk berkongsi perhubungan komunikasi mengggunakan ‘password’ sama pada kadar lebih murah (anggaran RM58 seorang selama tujuh hari.)

Kami juga telah mengatur dengan ajen perkhidmatan khas agar kesemua beg-beg pakaian kami dihantar terus ke hotel penginapan pada kadar RM20 seorang bagi menyenangkan kami bersiar-siar sementara menunggu waktu ‘check-in’ di hotel penginapan.

Kumpulan kecil kami

Ketika itu musim sejuk, salji turun dengan lebat lalu menyukarkan pandangan dan pergerakan kami atas permukaan jalan yang licin. Kami bernasib baik kerana seorang lelaki Jepun menasihatkan kami membeli alat berpaku khas disarung ke tapak kasut bagi memudahkan kami berjalan atas salji.

Lucunya, kerana terlalu letih, kami tertidur dalam bas menuju ke hotel penginapan Susukino, Sapporo sehingga terlepas untuk turun di stesyen bas yang sepatutnya. Akhirnya kami terpaksa menaiki teksi kerana tidak tahan berada di luar dalam cuaca terlalu sejuk dan salji yang tebal. Aduh, mahalnya tambang teksi!

Kelebihan tempat penginapan yang kami pilih ini selain aspek kebersihan dan dewan makan, ia menyediakan kelengkapan memasak serta dapur khas untuk orang Islam. Ini memudahkan kami menyiap makanan dan membuat bekalan setiap kali keluar bagi menjimatkan belanja.

Pada hari kedua, kami memulakan program percutian dengan melawat tempat-tempat bersejarah dan mercu tanda Hokkadio seperti Sapporo TV Tower, Odori Park yang memutih diselaputi salji dan Menara Jam yang merupakan antara bangunan kayu gaya Amerika terakhir di sini.

Di Nijuyon-Ken yang menjadi tumpuan pelancong, kami turut mencuba makanan tempatan seperti King Crab, udang, kentang Jepun dengan butter dan jagung Jepun yang sangat manis!

Selepas itu, kami bergegas menaiki keretapi laju shikanzen ke Otaru yang terkenal dengan terusan yang cantik terutama pada waktu malam diterangi lampu neon. Setibanya di sana, salji turun lebat dan permukaan tanah tebal dengan lapisan memutih ini. Kami singgah di Otaru Orgel Emporium dikatakan gedung membeli-belah terbesar di Jepun khusus dalam penjualan pelbagai jenis ‘music-box’ sebagai cenderahati.

Namun yang paling kami ingati ialah Cream Puff yang begitu lazat, ais krim yang sangat halus lagi lembut, sedap! Kami akhiri lawatan ke Otaru dengan meninjau kawasan terusan yang terkenal dengan festival musim sejuk namun hampa kerana ia baru sahaja berakhir.

Shopping!

Jalan Tanukikoji dan Nijo Market adalah dua ‘pasar pagi’ yang terkenal di Sapporo. Kami terpegun melihat pelbagai jenis ketam yang kelihatan aneh – King Crab, Alaskan crab, Hairy Crab, Blue Crab dan sebagainya. Di sini kami sekali lagi mencuba makanan tempatan Crab Gratin (dengan keju) yang enak!

Keesokkan pagi kami meneruskan pengembaraan menaiki keretapi ke Hakodate. Kami turun di Noboribetsu dimana ia adalah sebahagian daripada wilayah Shikotsu, Toya National Park.

Yang menarik perhatian kami ialah setiba di stesyen Noboribetsu, sekumpulan warga emas berebut-rebut membantu membawa beg-beg kami. Dan apabila diberi wang upah, mereka menolaknya dengan baik atas alasan tugasan ikhlas.

Begitupun, kami berasa hampa apabila diberitahu kawasan air panas ‘onsen’ untuk berendam telah ditutup kerana projek pengubah-suaian maka kami hanya bersiar-siar di pekan kecil tersebut.

Setibanya di destinasi penginapan kami di Hakodate, kami dibantu oleh Peter yang fasih berbahasa Inggeris kerana pernah menetap di Kanada selama lapan tahun. Atas nasihat Peter, kami membeli satu tiket yang membolehkan kami mengguna semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk tram, bas dan keretapi sekitar bandar ini.

Kami sempat meninjau ke pasar pagi Asaichi yang terkenal di Hakodate, pelbagai jenis makanan laut, buah-buahan, sayuran dijual tetapi harganya mahal. Sehiris tembikai berharga RM20! Setelah puas menjenguk keunikan pasar pagi Asaichi, kami mengalas perut dengan jagung bakar dan kentang jeket bakar…hmm… sedap terutama dalam cuaca dingin sebegini!

Setelah kenyang, kami menaiki kereta kabel untuk ke puncak gunung Hakodate, menikmati keindahan panorama kaki langit bandar yang diselimuti salji memutih ini. Keindahannya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata…

Akhirnya kami bertolak ke Sapporo yang terkenal dengan sukan ski pada hamparan putih landai. Namun kami tidak begitu teruja untuk mencuba aktiviti luncur salji ini mengikut perancangan awal kerana suasana terlalu sejuk! Kami sudah tidak tertahan lagi dengan salji dan cuaca sejuk yang menusuk sehingga ke tulang hitam …. grrrrr

Begitupun keindahan suasana serba putih ini tetap memukau penglihatan. Kami akan kenang keindahan Sapporo dan keunikan Hokkaido setelah kembali ke tanah air.