Tempat Yang `Haram’ Dikunjungi

BANYAK tempat menarik yang boleh dikunjungi seluruh dunia. Ada yang menemui tempat baharu dan menjadi tarikan pelancong. Namun ramai tidak tahu ada tempat yang `haram’ dikunjungi atas sebab tertentu.

SNAKE ISLAND, BRAZIL

Kerajaan Brazil melarang orang awam untuk menjejakkan kaki ke Snake Island yang terletak tidak jauh dari pesisiran Sao Paulo. Seperti namanya, pulau ini didiami lebih 4,000 ekor ular berbisa pelbagai spesies. Hanya beberapa orang pakar sains dibenarkan masuk oleh pihak kerajaan dalam tempoh beberapa tahun bagi tujuan kajian.

AREA 51, AMERIKA SYARIKAT

Kawasan yang dikenali sebagai Area 51 di daerah Nevada, Amerika Syarikat menjadi tempat rahsia tentera udara.Tempat ini dikatakan menjadi pusat ujian senjata tentera dan menyimpan misteri pesawat yang terhempas di Roswell, New Mexico pada tahun 1947. Biarpun sekitar kawasan tersebut menjadi tumpuan, namun orang awam tidak dibenarkan masuk ke Area 51. Ejen tentera khas sahaja diberi permit masuk ke kawasan ini.

BILIK PETI BESI COCA-COLA

Di Atlanta, Amerika Syarikat sebuah muzium jenama minuman popular Coca-Cola dibuka untuk orang ramai pada tahun 2007. Memang banyak muzium Coca-Cola dibuka di seluruh dunia, namun di sini sahaja tersimpan resipi asal minuman itu. Bilik khas yang menyimpan rahsia tersebut dikawal rapi dan orang ramai tidak dibenarkan masuk.

LASCAUX CAVES, PERANCIS

Sejak 2008, Lascaux Caves ditutup sepenuhnya. Hanya seorang pakar dibenarkan masuk untuk tempoh 20 minit bagi satu sesi. Gua ini menyimpan hasil lukisan yang dipercayai wujud sejak zaman Paleolitik sekitar 17,000 tahun dahulu dan disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

ISE GRAND SHRINE, JEPUN

Kuil di Mia Prefecture, Jepun ini merupakan tempat khas untuk Dewi Amaterasu yang menjadi kepercayaan penganut Shinto. Hanya sami yang ada hubungan dengan keluarga Maharaja dibenarkan masuk. Kawasan ini ada dua buah kuil utama dan sekitar 125 buah kuil kecil. Menurut sejarah, seorang puteri mengembara untuk mencari lokasi menyembah Dewi Amaterasu sehingga dia akhirnya memilih tempat itu dan membina kuil berkenaan sekitar 2000 tahun dahulu.

MAKAM QIN SHI HUANG, CHINA

Tempat ini merupakan makam pemerintah China yang pertama, Maharaja Qin Shi Huang. Ia mula dibina sejak Maharaja itu sakit pada usia 13 tahun. Di sini tersimpan pelbagai ukiran patung yang dikatakan menjadi keperluan Maharaja untuk kehidupan selepas mati termasuk pasukan tentera. Ia dijumpai oleh masyarakat moden pada tahun 1974 namun demi menjaga warisan sejarah, kerajaan China melarang tempat ini dikunjungi orang ramai.

INFO: EXPRESS UK