Thailand kuatkuasa larangan merokok di pantai mulai November

Thailand akan menguatkuasakan larangan merokok di 20 pantai popular di seluruh negara itu, termasuk di Phuket dan Krabi mulai bulan depan.

Mereka yang ditangkap merokok di pantai-pantai yang menjadi kawasan larangan akan berhadapan dengan hukuman penjara selama setahun atau denda sebanyak 100,000 Baht (RM12,750).

Langkah itu dibuat selepas Jabatan Laut dan Sumber Pantai Thailand yang menjalankan pemeriksaan di sembilan meter persegi Pantai Patong di Phuket dan mendapati secara nisbah terdapat 0.76 puntung rokok di setiap meter persegi.

Menurut Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Jatuporn Buruspat, di sepanjang 2.5 kilometer pantai, sebanyak 101,058 puntung rokok telah ditemui. Ia menunjukkan puntung rokok menjadi satu pertiga sampah yang telah dikumpulkan sepanjang operasi itu dilakukan.

“Tidak boleh lagi merokok semasa berada di pantai kerana puntung-puntung rokok akhirnya akan dibuang di situ.

“Larangan itu terpakai termasuk di Koh Samui, Pattaya, Hua Hin, Prachuap Khiri Khan, Chon Buri dan Patong,” katanya sebelum larangan itu berkemungkinan akan diperluaskan di seluruh pantai Thailand.

Bagaimanapun, larangan berkenaan tidak termaktub ke atas pengguna vape.