Uniknya Kopi Bosnia! Ingat… Jangan Sesekali Bandingkannya Dengan Kopi Lain!

TERNYATA pemerintahan Uthmaniyyah di Bosnia telah meninggalkan rakyatnya dalam krisis identiti. Akan tetapi, satu perkara yang pasti – anda tidak boleh membandingkan atau memanggil kopi mereka sebagai kopi Turki.

Bosnia dan Herzegovina atau juga dikenali sebagai Republik Bosnia dan Herzegovina merupakan sebuah negara terletak di semenanjung Balkan di Selatan Eropah. Negara ini memiliki keluasan sekitar 51.129 km persegi dengan jumlah penduduk melebihi empat juta orang.

Lebih 95 peratus populasi negara ini terdiri daripada tiga kelompok etnik, iaitu Bosnia, Serbia dan Croatia. Islam telah dibawa ke kawasan ini oleh orang Turki Uthmaniyyah dan menguasai kebanyakan Bosnia pada tahun 1463.

Kopi Bosnia – secangkir mini kopi pekat, gula batu, air kosong dan lokum.

Selepas hampir empat abad di bawah pemerintahan Empayar Uthmaniyyah atau Ottomon –budaya Turki banyak meresapi kehidupan orang Bosnia, termasuklah makanan dan minuman seperti kopi. Namun, suka untuk diingatkan agar jangan sesekali menyamakan kopi mereka dengan kopi Turki.

Kopi Bosnia sebenarnya tidak sama dengan kopi Turki. Walaupun nampak serupa, namun proses pembuatan atau penyediaannya ternyata berbeza.

Pada asasnya, baik Bosnia mahupun Turki, kedua-duanya tetap menggunakan biji kopi panggang yang dilumatkan sehingga menjadi serbuk halus. Serbuk kopi tersebut kemudian dimasak secara tradisional dalam ‘dzezva’ atau disebut ‘cesve’ dalam bahasa Turki.

Ketika Perang Bosnia, harga kopi lebih mahal daripada emas, iaitu mencecah sehingga 100 Euro (RM455.72) sekilo.

Dzezva ialah sebuah cerek kecil langsing yang diperbuat daripada tembaga, di mana bahagian atasnya mempunyai pemegang mirip senduk. Cerek kecil tembaga ini banyak dijual di sekitar Bascarsija di Sarajevo dan Kujundziluk Mostar. Ia boleh dibeli dalam satu set – cerek, bekas gula, cawan kopi kecil bersama dulang.

Di Turki, cesve biasanya hanya disediakan di dapur. Orang Turki akan menambah siap-siap kopi dan gula ke dalam cesve yang berisi air panas. Setelah dikacau bersama, hanya cawan mini berisi kopi dihidangkan di atas meja, manakala cangkir mini tersebut ditinggalkan di dapur.

Setiap rumah di Bosnia memiliki pengisar kopi.

Berbeza dengan kopi Bosnia. Secara asasnya, mereka tidak menambah apa-apa perisa ke dalam kopi. Apa yang biasa dilakukan ialah mereka hanyalah menjerang dzezva berisi air kopi di atas api.

Sebaik sahaja mendidih, dzezva akan dibawa ke meja dan diletakkan di atas dulang tembaga berbentuk bulat bersama cawan mini kosong, segelas air kosong, gula batu dan lokum. Tekstur lokum ini semacam jeli. Kalau orang Bosnia panggil gula-gula, tetapi bagi orang asing mungkin akan memanggilnya manisan Turki.

SYURGA PENGGEMAR KOPI

Cara bagaimana untuk minum kopi Bosnia – terserah pada anda. Tidak ada peraturan khusus mengenainya. Cuma sebagai makluman, rasa kopi Bosnia sama seperti kopi Turki – sangat kelat, pahit dan pekat. Malah, serdaknya boleh dikatakan setebal lumpur. Hitam dan legam.

Bagi penggemar kopi, mungkin ini ialah syurga. Tapi, bagi mereka yang tidak suka akan minuman itu, anda harus berhati-hati untuk tegukan pertama. Bimbang tersembur pula nanti.

Setiap hari, warga tempatan memenuhi kafe-kafe di Bosnia untuk minum kopi.

Orang Bosnia ada cara tersendiri untuk menikmati kopi. Mereka biasanya akan meneguk air kosong terlebih dahulu. Kemudian, mereka mengambil buih pekat kopi di dalam cangkir mini dengan sudu – tidak dibuang.

Buih tadi akan diisi ke dalam cawan sebelum kopi dituang ke dalamnya. Sejurus itu, gula batu digigit sedikit dan diletakkan di bawah lidah. Cara ini bertujuan untuk mengurangkan rasa pahit kopi saat meminumnya. Selepas menghirup kopi pekat, ia biasanya diakhiri dengan meminum air kosong.

HANYA 1 EURO

Difahamkan, ketika perang saudara di Bosnia meletus, banyak makanan terpaksa dicatu dan salah satu antaranya ialah kopi. Keadaan ini menjadikan bekalan kopi amat terhad sehingga menyebabkan harga serbuk hitam itu lebih mahal daripada emas, iaitu mencecah sehingga 100 Euro (RM455.72) sekilo. Bagaimanapun kini, harga minuman itu jauh lebih murah daripada sebelumnya.

Jalan tertua di Bascarsija, Sarajevo banyak menjual set kopi Bosnia.

Di sekitar Bosnia, terutama jalan tertua di Bascarsija, Kazandziluk Street, terlalu banyak kafe khusus menjual kopi kebanggaan mereka. Malah, setiap hari kafe-kafe di sana hampir dipenuhi oleh warga Bosnia yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

Bagi anda yang ingin mencuba, silakan. Harga untuk secangkir kopi Bosnia tidaklah mahal, sekitar 1 Euro (RM4.50). Dan anda juga boleh menghirup secawan espreso serta kopi pilihan dari Eropah sepuas-puasnya dengan harga yang sama.