Visa Residensi 10 Tahun UAE Untuk Tarik Pelancong Perubatan

on

Dubai, bandar raya dan salah sebuah Emiriyah di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bukan sahaja terkenal kerana mesra perniagaan, tetapi kini muncul sebagai destinasi pelancongan perubatan utama di Asia Barat dan Afrika Utara.

Emiriyah itu mensasarkan 5 juta pelancong perubatan menjelang tahun 2020, berbanding 3.25 juta pada 2016.

Terbaru, kerajaan UAE mengisytiharkan visa residensi (residency visa) 10 tahun untuk para pelabur dan pakar sebagai galakan kepada profesional dalam bidang perubatan bekerja di negara itu, dan ini akan melonjakkan lagi sektor pelancongan di Dubai dan negara itu.

Sejak 10 tahun lalu, permintaan terhadap perkhidmatan perubatan di UAE meningkat pantas disebabkan peningkatan pertumbuhan penduduk, pelancong perubatan dan kian ramai menghidapi penyakit berkaitan gaya hidup.

Kerajaan UAE juga telah melakukan pelbagai inisiatif lain untuk menggalakkan pelancongan perubatan. Antaranya mewujudkan suasana mesra pelaburan, mengadakan zon bebas untuk khidmat perubatan, memastikan ketelusan dan memperkenalkan insuran mandatori.

Kos perkhidmatan perubatan yang tinggi di negara-negara Barat dipercayai menyebabkan pertumbuhan sektor pelancongan perubatan di Asia Barat. Dubai dan ibu negara UAE, Abu Dhabi kini menjadi bandar raya utama dalam sektor ini kerana mempunyai jaringan hospital-hospital antarabangsa yang besar. Malah kedua-dua bandar raya itu mempunyai pusat perkhidmatan kesihatan serta jabatan penyelidikan yang canggih, dan menduduki penarafan global yang baik dalam indeks pelancongan perubatan.

UAE dan Arab Saudi kini menguasai 50 peratus pasaran pelancongan di wilayah Asia Barat dan Afrika Utara. Pada tahun lalu, pelancongan menyumbang AS$115 bilion di wilayah itu, dengan Dubai menerima 15 juta pelancong dan menjadi bandar raya ke-6 yang paling dikunjungi di dunia.



Booking.com