10 Jenis Penumpang Terburuk

Siapa orang yang duduk di sebelah anda dalam pesawat? Kalau anda melakukan perjalanan secara solo, anda terdedah kepada penumpang yang tidak anda kenali langsung. Kalau bernasib baik, penumpang di sebelah anda itu tidak banyak kerenah dan membuatkan anda berasa selesa sepanjang perjalanan. Jika tidak… bersedialah!

Mungkin sebab itulah banyak orang suka berjalan bersama rakan-rakan atau keluarga. Setidak-tidaknya, ada orang yang anda kenali perangainya di sebelah anda. Keadaan yang tidak selesa pun boleh diharungi.

Paling penting, pastikan anda bukan termasuk dalam senarai 10 jenis penumpang pesawat paling teruk oleh AirlinesRating.com ini. Senarai ini dihasilkan daripada kaji selidik membabitkan 5,300 penumpang pesawat.

  1. Badan berbau (78 peratus)

Tidak ada yang lebih menyesakkan nafas selain duduk di sebelah penumpang yang pengotor. Apatah lagi kalau badannya berbau. Ruang dalam pesawat yang terhad menyukarkan peredaran udara dan membuatkan bau itu lebih ketara. Kemudahan mendaftar masuk dalam talian dikatakan memburukkan keadaan ini kerana petugas pesawat hanya berdepan dengan mereka ini di pintu masuk ke pesawat.

Kawal tingkah laku anak dalam pesawat.
  1. Mempunyai anak yang sukar dikawal (69 peratus)

Musim cuti awam merupakan masa paling sibuk, dan lebih tinggi kebarangkalian untuk anda berada dalam pesawat bersama kanak-kanak. Pada kebanyakan masa, ibu bapa dapat mengawal anak mereka agar menjaga kelakuan dalam pesawat. Bayangkan perasaan anda bila berada dalam pesawat bersama budak yang suka menjerit atau menendang kerusi di hadapannya sepanjang penerbangan?

  1. Suka merebahkan kerusi (65 peratus)

Dalam perjalanan yang jauh, kebanyakan penumpang akan merebahkan kerusi untuk berehat atau tidur. Tapi mereka yang merebahkan kerusi sepanjang masa, termasuk kala pramugari atau pramugara mengedarkan makanan, pasti akan menyusahkan penumpang di belakangnya. Jadi, berhemahlah tentang masa untuk merebahkan kerusi anda.

  1. Memonopoli alas tangan (armrest) (60 peratus)

Berada di tengah dalam barisan tiga penumpang pasti tidak menyelesakan, tapi satu kelebihannya ialah anda boleh menggunakan kedua-dua alas tangan itu. Ini merupakan etika penerbangan. Jadi, penumpang yang berada di baris paling tepi dengan laluan dan di sebelah tingkap perlu memberi `laluan’ untuk penumpang di tengah ini menggunakan alas tangannya.

  1. Terlalu banyak barangan (55 peratus)

Kebanyakan pesawat menetapkan berat minimum barangan yang boleh dibawa masuk dalam pesawat kepada 7 kg sahaja, dan hanya dua barangan serta satu beg tangan. Peraturan ini bertujuan mengelakkan penumpang membawa masuk terlalu banyak barangan dalam pesawat. Kalau anda membawa terlalu banyak barangan ke dalam pesawat, anda akan menghalang kelancaran penumpang lain masuk dan keluar dari pesawat, belum lagi mengambil kira ada ke tidak ruang untuk menyimpan barangan itu.

  1. Kerap membuang air kecil (50 peratus)

Kalau anda mempunyai masalah pundi kencing yang lemah, pilih tempat duduk di tepi laluan bagi mengelakkan mengganggu penumpang lain ketika anda hendak keluar dan masuk ke tempat duduk.

  1. Terlampau peramah (48 peratus)

Berada berjam-jam dalam pesawat merupakan peluang terbaik untuk berkenalan dengan penumpang di sebelah anda, tapi tidak semua orang beranggapan sedemikian. Sikap ringan mulut itu ada kalanya tidak disenangi oleh penumpang yang mahu menggunakan masa dalam pesawat untuk berehat sebelum tiba ke destinasi.

  1. Bersenam di laluan (45 peratus)

Kawal kehendak anda untuk bersenam dalam pesawat, terutama jika ia membabitkan laluan awam. Jika mahu, anda masih boleh bersenam ketika berada di tempat duduk anda tanpa mengganggu penumpang lain.

  1. Sombong dan suka mengarah (42 peratus)

Dalam pesawat, semua orang akan dilayan sama rata oleh pramugari atau pramugara. Bergantung kepada di mana anda duduk dalam pesawat, anda mungkin menjadi orang pertama atau terakhir yang akan menerima makanan. Bersabarlah. Petugas dalam pesawat sudah cukup sibuk dengan kerja mereka daripada hendak melayan kerenah penumpang yang perasan dirinya penting dan perlu dilayan segera.

Pemandangan di udara cukup mengagumkan bagi kanak-kanak.
  1. Memonopoli tingkap (39 peratus)

Kalau anda duduk di tepi tingkap, bertimbang rasa sedikit dengan penumpang lain yang mungkin pertama kali menaiki pesawat dan teruja untuk melihat pemandangan kala pesawat berlepas dan mendarat, atau ketika di udara. Usah `memilikkan’ tingkap itu untuk diri sendiri. Jika anda silau dan mahu menutup tingkap itu, sila tanya penumpang di sebelah anda jika dia kisah atau tidak.

 



Booking.com