20 Perkara Menarik Mengenai Rusia

on

Kalau bukan kerana Piala Dunia 2018, barang kali banyak orang yang tidak terfikir pun untuk berkunjung ke Rusia. Banyak yang melihat negara itu agak misteri.

Berikut adalah sedikit fakta mengenai negara itu, yang mungkin menarik anda berkunjung ke sana suatu hari nanti.

  1. Hotel Astoria di St. Petersburg merupakan salah satu tempat terbaik untuk anda merasa makanan tradisi Rusia. Hotel ini juga dikatakan tempat di mana Hitler merancang untuk mengadakan jamuan keraiannya setelah menakluki bandar tersebut (dahulunya dikenali sebagai Leningrad).
  2. Muzium The Hermitage, yang juga terletak di St. Petersburg, merupakan muzium paling besar di Rusia; dikatakan ia mempunyai koridor marmar sepanjang hampir 14 batu (kira-kira 22.4 kilometer). Jika berkunjung ke muzium itu, anda mungkin dapat melihat kucing-kucing bebas bergerak di dalamnya. Kucing ini adalah sebahagian daripada `petugas’ muzium itu, yang kerjanya menjaga barangan berharga di muzium itu daripada menjadi mangsa tikus. Amalan ini dimulakan sejak 1745 apabila Maharani Elizabeth, anak Peter the Great, pengasas St. Petersburg mengeluarkan dekri mengenai penggunaan kucing ini. Dianggarkan ada 70 ekor kucing `bertugas’ di muzium tersebut.
  3. Subbotnik adalah satu hari istimewa di mana warga di kota-kota Rusia akan secara sukarela keluar menyapu dan membersihkan jalan raya di bandar mereka.
  4. Red Square – tempat wajib dikunjungi bila ke Rusia. Perkataan `Red’ itu tidak ada kaitan langsung dengan komunisme. Ia sebenarnya diambil daripada perkataan `krasnyi’, yang suatu ketika dahulu bermaksud `cantik’.
  5. Kalau berkunjung ke Moscow pada musim sejuk, berhati-hati jangan berjalan di bawah talang (saluran tadahan air bumbung). Ini kerana jejarum ais (isikel) yang terbentuk amat besar sehingga mungkin membunuh anda jika terjatuh di atas kepala.
  6. Patung anjing gangsa di luar stesen metro Ploshchad Revolutsii mempunyai hidung yang berkilat kerana banyak orang menyentuh hidungnya bagi mengharapkan tuah.
  7. Tempat menyimpan kot banyak disediakan di restoran, bar, muzium atau galeri. Anda akan diminta untuk menyerahkan kot dan/atau beg tangan untuk disimpan di bilik simpanan ini bagi keselesaan anda.
  8. Siapa yang tidak sukakan bunga…tapi kalau anda berhajat hendak memberi sejambak bunga kepada orang Rusia, pastikan jumlahnya dalam angka ganjil. Bunga dalam jumlah genap hanya diberikan semasa upacara pengebumian!
  9. Vodka adalah minuman keras yang sinonim dengan Rusia, tapi tahukah anda, namanya adalah terbitan daripada perkataan `voda’ yang bermaksud `air’.
  10. Pulau Yttygran juga dikenali sebagai `Lembah Tulang Paus’ di mana anda boleh melihat tulang-tulang mamalia laut itu disusun baik terpacak di kawasan lapang.
  11. Laluan kereta api bawah tanah (yang dipanggil metro) di Moscow merupakan antara laluan kereta api paling indah di dunia.
  12. Usah terkejut kalau melihat pokok yang dipasang mangga padanya. Pokok bermangga ini merupakan tempat di mana pasangan kekasih meletakkan bukti cinta mereka – sama seperti meletakkan mangga di pagar atau jambatan di negara-negara lain.
  13. Fallen Monument Park di Moscow menempatkan banyak patung era Soviet yang tidak lagi dikehendaki, serta juga karya-karya kontemporari.
  14. Dari hujung barat hingga ke hujung timur, negara Rusia merentasi 11 zon masa tapi sejak 2011, hanya 9 zon masa digunakan.
  15. Kalau inginkan lonjakan adrenalin, cubalah berjalan di atas SkyBridge di lembah Krasnaya Polyana. SkyBridge sepanjang 439 meter ini terentang 207 meter di atas lembah itu dan merupakan sebahagian daripada Sochi SkyPark. Ia merupakan salah satu laluan pejalan kaki yang paling menakutkan di dunia.
  16. Sungai Volga yang merupakan sungai terpanjang di Eropah, bermula di Rusia. Panjang sungai ini ialah 3,690 kilometer. Anak-anak sungainya berjumlah lebih 200, di mana jika panjang anak sungai ini dicampurkan bersama sungai utamanya, panjangnya akan menjadi 357,000 kilometer!
  17. Tempat paling sejuk di dunia terletak di sini, iaitu di Oymyakon, yang tidak berpenghuni. Suhunya pernah dicatat 67.7 darjah Celsius di bawah paras beku pada 6 Februari 1933.
  18. Di rangkaian kafe Ziferblat, anda boleh makan dan minum apa sahaja yang anda mahu secara percuma tapi bayaran akan dikenakan bergantung kepada berapa lama anda berada di kafe itu. Kafe ini turut mula membuka cawangan di United Kingdom mulai 2014.
  19. Rusia mempunyai lebih ramai penduduk wanita berbanding lelaki, iaitu kira-kira 11 juta lebih ramai.
  20. Anda mungkin berpeluang melihat sendiri keadaan di kem-kem buruh paksa, yang dikenali sebagai gulag, jika rancangan jabatan pelancongan di Republik Sakha menjadi kenyataan. Sakha yang terletak di timur Siberia, mempunyai keluasan menyamai India tetapi penduduknya tidak sampai sejuta orang.

Dipetik daripada artikel `59 fascinating things you didn’t know about Russia’ www.telegraph.co.uk

 



Booking.com