20 Tapak Baru Warisan Dunia UNESCO 2018

Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menamakan 20 tapak warisan dunia baru dalam pelbagai kategori bagi tahun ini.

  1. Bangunan-bangunan Neo-Gothic dan Art Deco era Victoria, Mumbai, India

Bangunan-bangunan di Oval Maidan, bandar raya Mumbai ini dibina pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dibina dengan gaya Neo-Gothic dan Art Deco zaman Victoria yang disulami elemen-elemen India, bangunan-bangunan tersebut adalah sebahagian peninggalan sejarah bandar raya Mumbai sebagai pusat perdagangan global.

  1. Lanskap Arkeologi Sassanid di wilayah Fars, Iran

Tapak ini meliputi lapan tapak arkeologi di tenggara wilayah Fars; Firuzabad, Bishapur dan Sarvestan. Struktur-struktur kubu, istana dan pelan bandar merupakan peninggalan Empayar Sassanid yang menguasai kawasan itu pada tahun 224 hingga 658.

  1. Tapak-tapak Kristian Tersembunyi di wilayah Nagasaki, Jepun
Katedral Oura, Nagasaki, Jepun

Tapak di barat laut Pulau Kyushu ini meliputi 10 kampung, Istana Hara, sebuah katedral yang dibina antara abad ke-16 dan ke-19. Ia merakam sejarah awal aktiviti mubaligh Kristian serta penerokaan di Jepun, dan penindasan yang dialami penganut agama itu pada abad ke-17 hingga 19.

  1. Sansa, Biara Buddha di Korea
Kuil Beopjusa, Korea

Sansa adalah biara-biara Buddha yang terletak di kawasan gunung di wilayah selatan Semenanjung Korea. Ia merangkumi tujuh buah kuil yang dibina dari abad ke-7 hingga ke-9. Kuil-kuil tersebut mempunyai ciri khusus seni bina Korea yang mempunyai kawasan lapang yang dikelilingi empat bangunan (dewan Buddha, pavilion, dewan syarahan dan dormitori). Biara-biara ini dianggap suci dan masih menjadi pusat amalan agama Buddha hingga ke hari ini.

  1. Aasivissuit – Nipisat, di Greenland
Aasivissuit.

Tapak ini ialah kawasan perburuan kaum Inuit yang terletak dalam Garisan Artik (Artic Circle) di bahagian tengah Greenland Barat. Kawasan ini merupakan tapak warisan budaya yang memaparkan kebingkasan penduduknya yang bermigrasi mengikut musim, serta hidup berburu di kawasan ais dan laut. Di sini juga terdapat tapak arkeologi yang merakam budaya Paleo-Inuit dan Inuit.

  1. Oasis Al-Ahsa di Semenanjung Arab
Oasis Al-Ahsa merupakan oasis terbesar di dunia.

Al-Ahsa yang terletak di timur Semenanjung Arab merupakan oasis terbesar di dunia. Kawasan ini mempunyai kira-kira 2.5 juta pokok kurma, taman-taman, anak-anak sungai, perigi, tasik, bangunan-bangunan bersejarah dan tapak-tapak arkeologi. Oasis ini melambangkan kelangsungan penempatan manusia di kawasan Teluk dari zaman Neolitik sehingga kini. Banyak kesan sejarah seperti kubu, masjid, terusan dan sistem pengurusan air ditemui di sini.

  1. Kota Purba Qalhat, Oman
Kota purba Qalhat, Iran.

Kota purba ini terletak di pantai timur Oman, dan dikelilingi dua lapisan dinding. Ia dibangunkan antara abad ke-11 dan 15 sebagai sebuah pelabuhan semasa pemerintahan putera-putera Hormuz. Di Kota Qalhat ini terpahat sejarah perdagangan antara Semenanjung Arab, Afrika Timur, India, China dan Asia Tenggara.

  1. Kompleks Sempadan Arkeologi Hedeby dan Danevirke, Jerman

Tapak arkeologi Hedeby merangkumi kesan-kesan peninggalan bandar perdagangan – jalan raya, bangunan, kawasan perkuburan dan pelabuhan yang wujud pada milenia pertama dan kedua. Hubungan unik antara Empayar Frank di selatan dan Pemerintahan Beraja Denmark di utara, menjadikan Hedeby sebuah hab antara benua Eropah dan Scandinavia, juga antara Laut Utara dan Laut Baltik. Bahan arkeologinya banyak dan tersimpan dengan baik menjadikannya tapak utama yang merakan perkembangan ekonomi, sosial dan sejarah Eropah pada zaman Viking.

  1. Bandar Khilafah Medina Azahara, Sepanyol
Kesan tamadun Islam di bumi Andalusia boleh dilihat di Medina Azahara, Sepanyol.

Tapak arkeologi ini merangkumi sebuah bandar yang dibina pada pertengahan abad ke-10 oleh Dinasti Umayyah. Bagaimanapun bandar ini akhirnya terabai disebabkan perang saudara dan berakhirnya pemerintahan khilafah itu pada 1009-10.

Bandar Medina Azahara dilupakan hampir 1,000 tahun sehingga ia akhirnya ditemui semula pada awal abad ke-20. Tapak ini mempunyai kesan infrastruktur sebuah bandar yang sempurna – jalan raya, jambatan, sistem air, bangunan, elemen hiasan dan objek-objek yang digunakan seharian. Ia memberi pengetahuan yang mendalam mengenai tamadun barat Islam di Al-Andalus pada zaman kegemilangannya.

  1. Göbekli Tepe, Turki
Göbekli Tepe pada 2013.

Tapak yang terletak di pergunungan Germus, Tenggara Anatolia ini mempunyai struktur-struktur megalitik berbentuk bulatan dan segi empat. Ia didirikan oleh para pemburu pada zaman Pre-Pottery Neolithic antara 9600 dan 8200 SM. Struktur-struktur tersebut mungkin digunakan dalam amalan ritual. Sesetengah tiang berbentuk T diukir dengan imej-imej haiwan liar, dan memberi gambaran tentang gaya hidup serta kepercayaan manusia yang hidup di Upper Mesopotamia kira-kira 11,500 tahun lalu.

  1. Ivrea, bandar industri abad ke-20, Itali
Bandar industri abad ke-20, Ivrea.

Bandar industri ini terletak di wilayah Piedmont dan dibangunkan sebagai kawasan ujian oleh Olivetti, syarikat pengeluar mesin taip, kalkulator mekanikal dan komputer pejabat. Direka bentuk oleh perancang bandar dan arkitek-arkitek ternama Itali antara 1930-1960-an, seni bina bangunan di bandar ini mencerminkan idea-idea Pergerakan Komuniti di Itali. Ivera merupakan satu model projek sosial yang menzahirkan visi moden hubungan antara industri pembuatan dan seni bina.

  1. Katedral Naumburg, Jerman
Kehalusan ukiran di Katedral Naumburg.

Gereja besar Naumburg yang terletak di Lembangan Thuringian ini mula dibina pada 1028 dan membuktikan kecemerlangan seni dan seni bina abad pertengahan. Koir dan ukiran bersaiz sebenar para pengasas katedral ini adalah hasil kerja cemerlang dari bengkel yang dikenali sebagai  `Naumburg Masters’.

  1. Tapak Arkeologi Thimlich Ohinga, Kenya

Kawasan penempatan di barat daya bandar Migori, wilayah Tasik Victoria ini dipercayai dibina pada abad ke-16. Ohinga, atau kawasan penempatan berpagarkan batu, ini juga ialah sebuah kubu untuk melindungi penduduk dan ternakan. Ia juga menentukan entiti sosial dan hubungan masyarakatnya, yang berkait rapat dengan status keturunan. Thimlich Ohinga merupakan penempatan terbesar dan paling terpelihara dari segi tradisi komuniti berpagar ini.

  1. Pergunungan Barberton Makhonjwa, Afrika Selatan
Pergunungan Barberton-Makhonjwa, Afrika Selatan.

Tapak warisan ini merangkumi 40 peratus Jaringan Barberton Greenstone, struktur geologi tertua di dunia. Pergunungan ini merupakan kawasan batuan gunung berapi dan sedimen yang paling terpelihara sejak 3.6 hingga 3.25 bilion tahun. Ia mempunyai ciri-ciri batuan yang pernah menerima impak hujan meteor yang berlaku hasil Letusan Besar (4.6 hingga 3.8 bilion tahun lalu).

  1. Chaîne des Puys – Limagne (arena gelinciran tektonik) Perancis

Terletak di tengah Perancis, tapak ini merangkumi gelinciran Limagne, jajaran gunung berapi Chaine des Puys dan kawasan timbulan Montagne de la Serre. Ciri-ciri geologi kawasan ini menunjukkan bagaimana permukaan benua merekah, kemudian runtuh, menyebabkan magma yang berada jauh di dalam bumi naik, dan menyebabkan permukaannya terangkat.

  1. Fanjingshan, China

Terletak dalam kawasan pergunungan Wuling di Wilayah Guizhou (barat daya China), Fanjingshan berketinggian antara 500 hingga 2,570 meter dari aras laut. Tapak ini menyimpan pelbagai khazanah spesies fauna dan flora dari zaman Tertiari, antara 65 juta dan dua juta tahun lalu.

  1. Taman Negara Chiribiquete, Colombia
Taman Negara Chiribiquete mempunyai banyak penara cerun.

Taman negara ini adalah kawasan perlindungan yang terbesar di Colombia. Satu ciri penting taman negara ini ialah tepuis (bahasa penduduk asal Amerika yang bermaksud `gunung-gunung yang puncaknya mendatar’) atau penara bercerun yang banyak di hutan ini. Ada lebih 75,000 lukisan, berusia lebih 20,000 tahun lalu hingga kini, di dinding-dinding batu di bawah tepuis di situ. Lukisan-lukisan tersebut menunjukkan aksi berburu, peperangan, tarian dan acara sambutan.

  1. Pimachiowin Aki, Kanada

Pimachiowin Aki atau `Bumi yang Memberi Kehidupan’ ialah lanskap hutan yang dialiri sungai-sungai, tasik-tasik dan tanah bencah. Ia adalah sebahagian bumi nenek moyang kaum Anishinaabeg, penduduk asal yang hidup dengan menangkap ikan, berburu serta mengutip hasil alam. Di sini tersimpan tradisi budaya hidup Ji-ganawendamang Gidakiiminaan (menghormati khazanah bumi) yang menghargai pemberian Pencipta, menghormati segala bentuk kehidupan dan mengekalkan keharmonian dengan orang lain.

  1. Lembah Tehuacán-Cuicatlán, Mexico
Spesies kaktus yang hampir pupus boleh ditemui di Lembah Tehuacan-Cuicatlán, Mexico.

Lembah ini adalah zon gersang dan separa gersang yang terkaya dengan pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan di Amerika Utara. Kawasan yang mempunyai tiga komponen ini, Zapotitlán-Cuicatlán, San Juan Raya dan Purrón, adalah satu pusat pelbagai jenis pokok kaktus yang hampir pupus di dunia. Terdapat juga kesan-kesan arkeologi yang merakam perkembangan teknologi dan aktiviti bercucuk tanam serta sistem saliran di kawasan penempatan di lembah ini.

  1. Sikhote-Alin Tengah, Rusia
Sikhote-Alin Tengah, Rusia.

Lembah Sungai Bikin ini adalah tambahan kepada tapak Sikhote-Alin Tengah yang telah diwartakan dalam senarai Warisan Dunia pada 2001. Ia terletak kira-kira 100 km ke utara dari tapak tersebut. Kawasan tambahan ini meliputi kawasan seluas 1,160,469 hektar, tiga kali ganda tapak sedia ada. Di sini terdapat spesies pokok tirus (taiga), dan haiwan seperti harimau Amur, rusa Siberia, wolverine dan sable.

 

Sumber Foto: unesco.org



Booking.com