6 tips kemas bagasi untuk kaki travel

Pernah atau tidak anda membawa balik beberapa helai pakaian yang tidak dipakai pun semasa melancong? Ini tandanya anda silap mengira pakaian yang hendak dibawa.

Petua yang digunakan oleh orang yang biasa melancong ialah dengan membuat senarai. Setelah dikumpulkan kesemua pakaian itu, buang satu pertiga daripadanya. Jika anda tertanya-tanya bila anda hendak pakai baju/seluar itu semasa bercuti, buang pakaian itu dari senarai anda. Maksimumkan pakaian suai padan.

Okay, setelah pasti dengan jumlah pakaian yang hendak dibawa, anda boleh mula mengemas bagasi. Ada beberapa cara yang boleh anda gunakan, bergantung kepada keperluan.

  1. Gulung

Cara ini paling baik untuk menjimatkan ruang bagasi serta memudahkan anda menarik keluar pakaian yang hendak diguna. Pilih pakaian yang tidak terlalu tebal, sukar renyuk, untuk digulung. Anda boleh melihat pelbagai cara menggulung pakaian dengan kemas dalam talian.

  1. Lipat

    Lipat cara paling mudah dan cepat mengemas bagasi.

Ini merupakan cara paling mudah dan cepat. Anda hanya perlu ambil dari almari dan masukkan dalam beg. Anda boleh menyusun pakaian ini mengikut jenis (baju atau seluar/kain) atau mengikut hari-hari yang anda mahu gunakannya. Bagaimanapun, ia mungkin bukan cara terbaik untuk menjimatkan ruang.

  1. Bungkus

Kalau anda mempunyai pakaian yang mudah renyuk, ini adalah cara terbaik. Bentangkan pakaian yang paling mudah renyuk di dalam bagasi dengan membiarkan bahagian yang berlebihan di luar beg. Letak bahagian pinggang atau kolar baju rapat ke sisi beg. Lapis dengan pakaian yang lain sehingga semua pakaian berada dalam beg, dengan pakaian paling susah renyuk berada paling atas. Kemudian lipatkan bahagian pakaian yang berada di luar beg ke dalam satu persatu – seolah-olah membalut pakaian paling atas tadi.

Walaupun dapat mengurangkan renyuk, cara ini agak menyukarkan anda untuk mengambil pakaian tertentu kerana perlu membukanya selapis demi selapis.

Cara bungkus mengurangkan renyuk.
  1. Beg mampat

Gunakan beg pemampat jika anda membawa barang yang agak besar seperti baju sejuk, kot atau selimut. Beg ini juga berguna untuk meletakkan pakaian kotor semasa dalam perjalanan pulang.

  1. Kiub (beg) mengemas

Asingkan pakaian anda dan kemas barang yang sama dalam satu beg kiub. Cara ini mengambil lebih ruang, tetapi barangan anda lebih teratur. Anda boleh menjimatkan masa mencari sesuatu barangan dalam longgokan pakaian itu.

  1. Gabungan kesemua cara

Ini adalah cara yang terbaik untuk menjimatkan ruang, mengurangkan renyuk dan memastikan barangan tersusun. Ruang yang kosong di antara pakaian berlipat, boleh dipadatkan dengan pakaian bergulung. Barangan penjagaan diri boleh diletakkan dalam satu bekas bagi memudahkan anda mencarinya.



Booking.com