Amaran CAMPAK di Okinawa

Jika anda merancang untuk melancong ke Okinawa, Jepun, dapatkan vaksinasi demam campak. Ini kerana kerajaan tempatan Okinawa telah pun mengeluarkan amaran dalam laman sesawangnya agar mereka yang ingin melawat pulau itu perlu terlebih dahulu mendapatkan vaksinasi.

Wilayah di selatan Jepun yang mempunyai beberapa puluh (kira-kira 160) buah pulau itu telah mencatatkan 65 kes campak dalam sebulan sehingga Khamis 19 April lalu.

Perkembangan ini membimbangkan pihak berkuasa wilayah Okinawa, yang merupakan destinasi popular pelancong itu. Tambahan pula hujung bulan ini, musim cuti Golden Week bakal bermula.

Suasana di Okinawa

Bagaimanapun 170 tempahan hotel oleh pelancong, termasuk dari luar negara, telah dibatalkan. Sementara itu, pihak hotel turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggalakkan kakitangan mereka mendapat vaksinasi agar tidak dijangkiti.

Kes jangkitan campak mula meningkat selepas seorang lelaki dari Taiwan didiagnosis dengan penyakit berjangkit itu pada 20 Mac lalu di Okinawa.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengisytiharkan Jepun bebas daripada campak pada 2015 berikutan ketiadaan rekod jangkitan virus itu selama tiga tahun, walaupun terdapat kes-kes campak yang diimport.

Demam campak amat mudah merebak melalui kontak dengan cecair hidung atau air liur mereka yang dijangkiti virus itu. Antara simptomnya ialah demam dan ruam.

Sumber: www.japantimes.co.jp



Booking.com