Apa Yang Menarik di BACHOK?

NEGERI Kelantan sangat terkenal dengan kepelbagaian seni budaya dan juga makanan yang lazat. Jika ke negeri ini banyak perkara yang boleh diterokai. WOWMalaysia membawakan anda apa yang menarik di daerah Bachok.

Keunikan Ukiran Kayu

Ukiran kayu merupakan satu seni budaya masyarakat Melayu yang menceritakan pelbagai kisah sejak dahulu lagi. Anda boleh menyaksikan keunikan seni ukir di Akademi Nik Rashiddin yang terletak di Bachok. Pelbagai jenis alatan seperti keris, sangkar burung dan rangka katil yang dibuat di sini. Setiap ukiran mempunyai cirri-ciri khas tersendiri yang diwarisi sejak berpuluh tahun dahulu.

Kuil Photikyan Phutthakham

Anda juga boleh melihat pengaruh budaya Siam di Bachok kerana negeri Kelantan bersempadan dengan Thailand. Tidak hairan jika anda terjumpa banyak kuil Buddha di sana. Antara yang menjadi lokasi pelancongan adalah Kuil Photikyan Phutthakham. Dalam kuil ini anda akan melihat patung Buddha setinggi 108 kaki.

Pantai Irama

Kalau dah sampai ke negeri Pantai Timur, haruslah singgah pantai. Kawasan sekitar Pantai Irama sering menjadi tumpuan penduduk tempatan dan juga pelancong pada hujung minggu. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti banana boat, memancing dan bermain layang-layang. Pantai ini tidak sesuai untuk aktiviti mandi ketika musim monsoon sekitar November hingga Mac.

Pantai Senok

Jika ke Pantai Senok pula, anda akan rasa seperti berada di Pulau Nami. Pantai ini merupakan lokasi terbaik untuk merakamkan gambar dengan latar belakang pokok pine. Pastinya menjadi kesukaan semua kaki Instagram.

Pembuatan Atap Singgora

Atap singgora banyak digunakan dalam pembinaan rumah tradisional dan ia dapat mengurangkan suhu panas dalam rumah. Anda boleh melihat sendiri bagaimana atap ini dihasilkan apabila ke Bachok. Dikatakan hanya di sini sahaja tempat yang masih membuat atap singgora seluruh Malaysia.

INFO & GAMBAR: TOURISM



Booking.com