Arif Johari Bolot Hadiah RM7,000 JPKL

KEMENANGAN berganda! Juara dan naib juara, Ariff Johari bolot hadiah RM5,000 dan RM2,000 dalam pertandingan Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) siri 6/2018 di Tasik Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.

Paling manis kemenangan berganda itu diraikan sempena Hari Malaysia dan menewaskan lebih 800 peserta lain pada pertandingan memancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga julung kali diadakan di tasik berkenaan.

Lebih 500 ekor ikan berjaya dinaikkan oleh kaki pancing dan antara yang menarik perhatian ramai ialah spesis pacu, keli bersaiz 6 kilogram dan talapia.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mohd Juri berkata program yang mengangkat tema Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera  boleh menjadi satu aktiviti riadah sihat buat warga kota.

Teruja dengan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di bawah DBKL ini dapat mencapai matlamat agar perpaduan dan keharmonian melalui pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan.

“Objektif sebenarnya, kita nak beri rakyat peluang untuk bersantai, beriadah dan dapat bersama-sama mengeratkan hubungan silaturahim warga kota khususnya.

“Dengan suasana persekitaran yang indah, usaha DBKL menaikkan infrastruktur tasik untuk kemudahan pengunjung sudah pasti Tasik Danau Kota bakal menjadi satu lagi identiti tasik baru kepada DBKL nanti.”

Sementara itu, juara siri 6/2018, Arif Johari pula menganggap kemenangan berganda dalam JPKL sebagai rezeki yang tak disangka-sangka. Kehebatannya sebagai pemancing terbukti apabila dia berjaya menewaskan hampir 800 peserta lain.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid (3 dari kanan) bersama para penaja penaja Oyoshi , Blow dan IGLOO-UFL

Kemenangan yang dicapai hasil tangkapan patin seberat 11.685 kilogram dan 10.060 kilogram dengan berumpankan roti pada jam 10.44 pagi dan 9.39 pagi. Dua tangkapan itu sekali gus melayakkan dirinya menerima hadiah berupa wang tunai RM5,000 dan RM2,000 serta barang iringan Oyoshi Green Tea, Blow dan Igloo-UFL.

Bagi tempat ketiga pula, ia disandang oleh Izhar Nordin (King Hunter), yang membawa pulang RM1,000 turut menaikkan spesis patin seberat 3.980 kg.

Turut memeriahkan JPKL 2018 ini ialah rakan strategik bersama iaitu Oyoshi Green Tea, Blow dan Igloo-UFL.

JPKL siri seterusnya akan berlangsung pada 30 September 2018 (Ahad) siri 7/2018 di Tasik Ampang Hilir, KL dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman facebook: jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811.



Booking.com