Avani SGC, Vitamin ‘Sea’ & Terapi Minda

on

 

Suasana persekitaran yang luas saujana mata memandang mampu mempengaruhi minda dan jiwa untuk berasa ketenangan dan keindahan alam ciptaan Ilahi. Pengalaman tersebut ibarat satu terapi jiwa yang sangat berkesan.

Begitulah yang saya alami, dan mungkin anda juga, jika berpeluang bersantai di pusat peranginan terkenal Avani Sepang Goldcoast, Selangor. Tambahan pula percutian tersebut disertai ahli keluarga… bertambah-tambah keseronokan bercuti!

Dari Bangi, perjalanan berkereta memakan masa lebih kurang satu jam 15 minit mengikut laluan jalan lama Bangi-Dengkil-Sepang tanpa bayaran tol. Laluan ‘kampung’ yang bengkang-bengkok ini sepi kerana tidak banyak kenderaan, malah polis menasihatkan pengguna jalan raya tidak menggunakan laluan ini pada waktu malam.

Namun selepas bandar Sepang, suasana laluan agak sibuk dengan kenderaan.  Bermula dari bandar Sepang hingga ke Tanjung Rhu di Tanjung Sepat, di sinilah letaknya pembangunan pesisir pantai yang dinamakan Sepang Gold Coast (SGC). Ia meliputi kawasan seluas 5,000 hektar  termasuk pantai dan hutan paya bakau, yang disaliri oleh dua batang sungai, Sungai Sepang Besar dan Sungai Sepang Kecil.

Projek utama Sepang Gold Coast merangkumi komponen seperti pusat komersial, hospitaliti, rekreasi, kesejahteraan, hiburan dan pelancongan. Paling istimewa, pelannya dirangka bagi mengimbangi antara alam semula jadi dengan komuniti.

Inspirasi Pohon Palma

Dan Avani Sepang Goldcoast merupakan projek utama Sepang Gold Coast sebagai destinasi gaya hidup pesisir eko-pelancongan berintegrasi. Pusat peranginan bertaraf lima bintang ini direka dalam bentuk pokok palma bila dilihat dari udara. Seni bina ini berinspirasikan pusat pelancongan terkenal Golden Palm Dubai di Emeriyah Arab Bersatu.

Pemandangan dari luar menuju ke ruang lobi. – Foto: Hilmi Zaini.

Seni bina Avani Sepang Goldcoast mendatar berkonsep santai kontemporari, menggabungkan bahan semula jadi kayu dengan konkrit. Bahagian utama penginapan berupa 232 buah vila atas air dalam bentuk pohon palma menghadap laut Selat Melaka.

Suasana dalaman vila atas air yang sesuai untuk keluarga. – Foto: Hilmi Zaini.

Menarik mengenai vila berkenaan ialah seni reka berkonsep tradisional, terutama bahagian tengah bumbung yang tinggi menggunakan bahan anyaman nipah. Terdapat empat jenis vila dengan pilihan bilik-bilik tambahan demi keselesaan tetamu.

Aktiviti Santai…

Basikal yang disediakan untuk kegunaan tetamu. – Foto: Hilmi Zaini.

Demi keselesaan para tetamu juga, Avani Sepang Goldcoast menyediakan perkhidmatan  ‘buggy’ untuk kegunaan tetamu bergerak sekitar pusat peranginan yang luas ini. Misalnya dari lobi ke vila dan ke restoran-restoran. Selain itu, para tetamu juga bebas memilih basikal yang disediakan secara percuma untuk bersiar-siar di kawasan sekitar sambil menikmati suasana nyaman bayu laut.

Anda boleh mengayuh basikal untuk meninjau kawasan kampung berhampiran. Tetamu Avani Sepang Goldcoast juga boleh menyewa beca untuk bersiar-siar bersama keluarga sambil meneroka kawasan pusat peranginan indah ini.

Pada sebelah petang, pihak hotel ada menyediakan pakej ‘Mangrove River Cruise’ menyelusuri Sungai Sepang Besar yang terletak berhampiran. Bot yang boleh memuatkan lebih kurang lapan orang akan membawa anda mengenali kawasan eko paya bakau yang unik ini. Paya bakau ini penting bagi melindungi kawasan dataran daripada ribut dan air pasang.

Selain mengenali dan menanam benih pohon bakau dengan hanya mencampaknya ke tanah lembut, anda juga diajak mencari lokan (sejenis cengkerang) yang bersembunyi dalam lumpur dengan cara mencungkilnya menggunakan alatan khas. 

Salah sebuah pondok memancing yang  boleh disewa. – Foto: Hilmi Zaini.

Di sepanjang Sungai Sepang Besar, anda dapat lihat deretan pondok-pondok kecil untuk disewa kepada kaki-kaki pancing kerana di sini terdapat beberapa jenis ikan, ketam berwarna-warni dan udang. Kawasan ini turut menjadi tarikan burung-burung migrasi, selain burung tempatan seperti helang merah.

Sementara menunggu matahari terbenam, anda juga boleh menyertai aktiviti pantai seperti bermain layang-layang dan sukan air Aqua-X di pantai Smiley. Bagi memenuhi cita rasa selera anda, pusat peranginan Ini menawarkan lima restoran berkonsep iaitu Bila-Bila (‘coffee house’); Sepoi-Sepoi (makanan tempatan sebelah luar); Buloh Bar (bar di kolam renang); Pantry@Avani (bersantai di ruang lobi); Hai Sang Lou (restoran makanan Cina) dan Stimbot (cita rasa masakan Cina).

Leka menyaksikan permainan api di pantai. – Foto: Hilmi Zaini.

Ilustrasi bandar D’Festival SepangSementara itu, sebuah bandar pesisir pantai bersebelahan Avani Sepang GoldCoast dijangka siap dibina bagi melengkapi infrastruktur pembangunan SGC. D’Festival berkonsep gaya hidup pesisir pantai yang menawarkan pelbagai kemudahan keseronokan percutian keluarga seperti hotel berharga patut, restoran dan kafe bertema serta pusat-pusat rekreasi yang menarik.

Tidak perlu pergi jauh untuk membawa keluarga anda menikmati keseronokan bercuti kerana Avani Sepang Goldcoast memiliki segala kemeriahan percutian. Selamat bercuti!

 



Booking.com