Awas Bandar Cetus `Penyakit’

on

`Penyakit’ ini bukan berpunca daripada virus, bakteria atau kuman, tapi disebabkan oleh keberadaan anda di bandar yang dikunjungi itu. Tiga buah bandar yang mampu mencetuskan fenomena itu ialah Baitulmaqdis, Paris dan Florence.

Ia disebabkan ada pengunjung yang berasa taksub terhadap bandar tersebut, sehinggakan mereka boleh menjadi gila ketika berada di situ sekali pun mereka tidak ada sejarah penyakit mental.

Baitulmaqdis menjadi tumpuan penganut tiga agama.

Sindrom Jerusalem

Baitulmaqdis atau Jerusalem merupakan bandar suci kepada tiga agama – Islam, Yahudi dan Kristian. Sungguhpun kebanyakan kes Sindrom Jerusalem berlaku di kalangan penganut Kristian, ia turut dialami oleh penganut Yahudi dan Islam.

Mereka yang terkena sindrom ini pada mulanya akan berasa resah, stres dan gugup, kemudian menjadi psikosis. Delusi yang mereka alami sering kali mempunyai kaitan dengan agama, umpamanya ada yang menganggap dirinya Tuhan, Nabi Isa atau Nabi Daud.

Pada satu masa, penyakit ini dikatakan amat biasa sehingga kira-kira 100 orang setiap tahun mengalaminya di mana sekitar 40 orang daripada mereka memerlukan rawatan psikiatri di hospital. Sehinggakan sebuah hospital psikiatri di Baitulmaqdis telah dijadikan pusat rawatan untuk pelancong yang terkena sindrom ini.

Bagaimanapun dalam temu ramah pada 2011, doktor psikiatri hospital itu menyatakan kesnya sudah berkurangan – cuma dua atau tiga kes setahun.

Persepsi Paris sebagai kota romantis, fesyen dan glamor mencetuskan Sindrom Paris.

Sindrom Paris

Momokan Paris sebagai `bandar cinta’, bergaya dan glamor membuatkan ramai orang mempunyai tanggapan yang keterlaluan terhadap bandar raya itu, malah ada yang menaruh harapan untuk bertemu pasangan sehati sejiwa mereka di bandar raya itu.

Sindrom Paris biasanya terkena kepada pelancong dari Jepun dan China. Dalam bahasa Jepun, sindrom ini dikenali sebagai `Pari shokogun’. Ia dikatakan tercetus daripada perasaan kecewa dan terkejut apabila Paris tidak seromantis yang mereka gambarkan.

Mereka yang terkena sindrom ini akan tiba-tiba berasa pening, berpeluh, degupan jantung meningkat, malah turut berhalusinasi. Dikatakan kira-kira 20 orang pelancong Jepun terkena sindrom ini setiap tahun disebabkan ketaksuban mereka terhadap Paris. Kedutaan Jepun akan menghantar pesakit itu pulang ke Jepun bersama doktor bagi memastikan mereka pulih daripada kejutan tersebut.

Sekitar enam juta warga Jepun melancong ke Paris setiap tahun. Keletihan, masalah bahasa dan budaya, kerinduan pada kampung halaman dan kejutan budaya turut menyumbang kepada Sindrom Paris ini.

Sindrom Florence berkaitan dengan keindahan seni.

Sindrom Florence

Sindrom Florence juga dikenali sebagai Sindrom Stendhal, sempena nama penulis Perancis kurun ke-19 yang mengalami simptom itu ketika melancong di Itali. Ia juga dikenali sebagai hiperkulturemia.

Ia dikatakan berlaku selepas melihat kesenian Florentine. Mereka yang mengalaminya akan mendapati jantung berdegup kencang, pening-pening, pengsan, keliru, malah berhalusinasi. Bagaimanapun pakar psikiatri menyatakan tidak ada bukti yang menunjukkan perasaan taksub pada kecantikan sebagai satu bentuk gangguan psikiatri.

Sindrom ini juga digunakan dalam situasi lain (bukan hanya di Florence) kepada individu yang berasa ditenggelami oleh benda yang terlalu indah pada pandangan mereka – umpamanya kala melihat keindahan matahari terbenam. Bagaimanapun kesan ini hanya sementara dan tidak memerlukan rawatan perubatan.

Stendhal ialah nama pena penulis Perancis, Henri-Marie Beyle (1783-1842) yang menulis secara terperinci pengalaman negatifnya setelah melihat kesenian Florentine dalam bukunya, Naples and Florence: A Journey from Milan to Reggio.

Galeri Uffizi.

Sejak buku itu dierbitkan, ada beberapa ratus orang yang turut merasa kesan yang sama, terutama di Galeri Uffizi di Florence, di mana ia sering dirujuk sebagai `Penyakit Pelancong’. Hanya pada 1979 keadaan itu dinamakan Sindrom Stendhal oleh pakar psikiatri Itali, Dr. Graziella Magherini. Beliau yang merupakan ketua psikiatri di Hospital Santa Maria Nuovo, Florence mendapati banyak pelancong di bandar itu menunjukkan simptom tersebut yang berlarutan selama dua atau tiga hari.

 



Booking.com