Bahagian Pemeriksaan Keselamatan Paling ‘Bahaya’ Di Lapangan Terbang

Pernahkah anda terfikir, tempat mana di lapangan terbang yang paling ‘bahaya’, ‘kotor’ dan mudah dijangkiti penyakit? Tentu ramai yang menyangka tempat itu adalah dalam tandas.

Tetapi anda tentu tidak menyangka bahawa tempat yang paling banyak mengumpul kuman dan ‘bahaya’ ialah di bahagian pemeriksaan keselamatan. Lebih tepat, dulang plastik yang digunakan untuk meletak barang-barang seperti beg, kasut, jaket, tali pinggang, computer riba dan lain-lain.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Nortingham dan Institut Kesihatan dan Kebajikan Kebangsaan Finland, dulang plastik yang digunakan di bahagian pemeriksaan keselamatan dalam lapangan terbang adalah tempat paling banyak bakteria berkumpul.

Para penyelidik dari institusi tersebut telah menjalankan ujian di lapangan terbang Helsinski-Vantaa, Finland  semasa musim sejuk 2016, dan laporan kajian tersebut diterbitkan dalam sebuah jurnal berkaitan penyakit berjangkit baru-baru ini.

Selain dulang di bahagian pemeriksaan keselamatan, laporan itu menyebut tempat lain dalam lapangan terbang yang menjadi hotspot bakteria; terminal bayaran di kedai-kedai, susur (rail) tangga, kaunter pemeriksaan pasport, kawasan permainan kanak-kanak dan udara dalam bangunan. Bagaimanapun para pengkaji tidak menemui bukti-bukti kewujudan virus di permukaan-permukaan dalam tandas.

Dulang di bahagian pemeriksaan keselamatan mempunyai potensi tertinggi risiko dicemari virus. Empat daripada lapan sampel dulang didapati positif mempunyai virus-virus respiratori.

Menurut kajian itu, dulang-dulang tersebut digunakan oleh semua penumpang, sebab itu ia berpotensi menjadi satu masalah. Sekiranya terdapat mikroorganisma bahaya, ia boleh dijangkiti dengan mudah dan merebak ke banyak negara.

Kajian itu juga mencadangkan agar penumpang diberi sanitiser untuk tangan sebelum dan selepas melalui pemeriksaan keselamatan, dan dulang-dulang yang digunakan juga dibersihkan dengan lebih kerap.



Booking.com