Bersantai di Nafas Cube @MARDI

Anda tidak perlu pergi jauh untuk menikmati percutian santai dalam suasana nyaman alam semula jadi. Lokasi penginapan berkonsep agro pelancongan terbaru, NAFAS Cube ini hanya terletak di MARDI, Serdang, Selangor.

Nafas Cube dibangunkan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi menyokong sektor agro pelancongan yang semakin digemari ramai. Menarik mengenai Nafas Cube ini ialah ia berkonsep santai, ranggi kerana menggabungkan dua jenis penginapan berbeza lagi unik iaitu kontena dah tube.

Terdapat 10 unit penginapan tube, 2 unit kontena premium, 1 unit kontena keluarga dan 3 unit kontena eksekutif. Walaupun dari luar ia kelihatan ranggi, setiap jenis penginapan telah diberi sentuhan kontemporari ala bilik hotel biasa yang sangat menarik dengan keutamaan terhadap aspek keselesaan tetamu. Kemudahan membancuh teh/kopi, TV, almari baju, pendingin hawa dan bilik air disediakan dalam penginapan kontena.

Sementara kemudahan bilik air berasingan lelaki dan perempuan diletak sebelah luar untuk kegunaan tetamu yang menginap di tube dan khemah. Ia turut menyediakan kemudahan solat yang menghadap tasik.

Di luar penginapan, disediakan tempat bersantai seperti set kerusi-meja di beranda dan bangku untuk mereka yang menginap di tube. Semua penginapan menghadap tasik yang dibarisi pepohon menghijau mencetuskan suasana yang begitu selesa lagi nyaman.

Pada sebelah petang anda boleh bersiar-siar disekitar kawasan Taman Tasik Rekreasi MARDI yang luas ini. Di sini terdapat pelbagai tarikan disediakan termasuk Rumah Negeri, restoran makanan laut, kafe berasaskan daging kambing dan aktiviti menunggang kuda.

Selain itu, Nafas Cube@MARDI juga terletak berhampiran laman-laman eksklusif MAEPS seperti Laman Herba, Laman Nanas, Laman Padi dan ladang ternakan kambing. Maka bolehlah anda membawa keluarga berkunjung ke laman-laman tersebut untuk mendedahkan mereka kepada suasana alam sekitar termasuklah ‘petting farm’ untuk bermain dengan haiwan-haiwan jinak seperti. burung, arnab dan kambing.

Kadar penginapan satu malam kontena premium dan kontena keluarga ialah RM200 untuk hari bekerja dan RM250 untuk hujung minggu atau cuti umum, untuk executive container RM150 untuk hari bekerja dan RM180 hujung minggu atau cuti umum, manakala untuk penginapan di tube hanya RM120 untuk hari bekerja dan RM150 untuk hujung minggu atau cuti umum.

Foto: Zulhilmi Zaini & Utusan

 



Booking.com