Berwaspada Terhadap Cara Penipuan di Eropah

on

Sudah berbagai-bagai cara dilakukan, tapi anda sukar mengelakkan daripada menjadi mangsa penyeluk saku ketika bercuti ke negara Eropah. Cara mereka yang licik sukar dikesan, apatah lagi kalau anda pertama kali berkunjung ke negara. Jadi berwasapada dan elak menjadi mangsa penipuan.

Namun ada kalanya tindakan anda sendiri yang `mendedahkan’ di mana anda menyembunyikan barang berharga anda, sekali gus meletakkan diri sebagai sasaran mudah penyeluk saku.

Menurut pelancong berpengalaman, Rebecca Baldwin dari Amerika Syarikat, papan tanda amaran mengenai penyeluk saku di bandar-bandar besar yang diletakkan untuk memberi peringatan kepada pelancong khususnya, sering kali memakan diri sendiri.

Ini kerana apabila pelancong melihat papan tanda amaran itu, mereka akan berhenti dan memeriksa tempat mereka menyimpan barang berharga – wang, pasport, kad kredit dan visa – dengan menyentuh tempat barangan itu disimpan – dalam seluar, poket kot, atau dompet.

Bahkan kalau memakai barang kemas, mereka akan meraba leher dan pergelangan tangan untuk memastikan barang itu masih ada. Kemudian, barulah mereka meneruskan perjalanan.

Masalahnya, perlakuan mereka itu sudah menjadi perhatian penyeluk saku yang biasanya bergerak dalam kumpulan. Pemerhati kumpulan penyeluk saku ini akan berada berhampiran papan tanda amaran itu dan memberi isyarat kepada ahli kumpulannya. Ada kumpulan penyeluk saku yang melatih kanak-kanak untuk menyeluk saku supaya anda tidak berasa syak terhadap mereka.

Syarikat insurans pelancongan, Travel Insurance Direct memberikan beberapa contoh jenayah yang disasarkan pada pelancong di Eropah pada tahun ini.

  • Ada sesuatu pada pakaian anda

Bahan yang menjijikkan seperti najis burung atau mustard dipercikkan pada baju anda, dan apabila ada `orang asing yang baik hati’ membantu anda membersihkannya, rakannya akan menyeluk saku anda.

  • Komplot cincin emas

Seseorang akan menahan anda dan menyatakan anda tercicir sesuatu, sambil menunjukkan sebentuk cincin emas. Ia mungkin satu cara mengalih perhatian semasa saku anda diseluk atau dia bertegas mahu anda memberi ganjaran padanya kerana menemukan barang itu.

  • Kereta anda ada masalah

Kalau anda memandu dan tiba-tiba ada kereta lain yang menghampiri sambil menyatakan ada kerosakan pada bahagian belakang kereta anda, berhati-hatilah. Kalau anda berhenti dan sama-sama memeriksa bahagian belakang kereta itu, rakannya mungkin akan melarikan beg tangan anda yang berada di tempat duduk depan.

  • Tikus hotel di Paris

Sekumpulan pencuri menyamar sebagai pelancong dan memasuki hotel-hotel di sekitar Paris. Sesetengahnya akan berlegar di lobi dan menunggu peluang untuk melarikan bagasi atau barangan peribadi yang tidak diawasi.

Ada juga yang akan mendaftar masuk ke hotel yang popular di kalangan pelancong dan memecah masuk ke bilik untuk mencuri barang berharga.

  • Geng moped London

Sekumpulan pencuri bersenjata (seperti kayu pemukul, kapak dan pisau) menunggang moped dan skuter untuk meragut dan menyerang pejalan kaki dan pemandu yang tidak berwaspada. Pelancong adalah sasaran mudah bagi mereka.

Sumber: www.news.com.au



Booking.com