Bosan Hujung Minggu…? Jom Buat Aktiviti Ekstreme

BERSANTAI di tepi pantai, pergi ke pusat membeli-belah atau menonton wayang mungkin sudah biasa anda lakukan pada hujung minggu. Kalau sudah bosan dan jika mahukan sesuatu kelainan, anda boleh cabar diri dengan aktiviti ekstreme.

Sekali-sekala aktiviti sebegini dapat memberi pengalaman baharu yang mungkin tidak akan dilupakan. Apa salahnya mencuba sesuatu yang luar biasa.

Skytrex Adventure

Kalau ada yang anggap aktiviti ini mudah, fikirkan kembali! Bayangkan anda perlu melalui 23 cabaran untuk sampai ke garisan penamat dan semuanya berada di dalam keadaan tergantung di udara. Itu yang perlu anda lalui di Skytrex Adventure yang terletak di Shah Alam, Langkawi dan Melaka.

Skytrex Adventure merupakan aktiviti outdoor yang akan membawa anda berjalan di atas pokok setinggi antara 7 hingga 20 meter. Anda boleh memilih trek Little Adventure, Big Thrill atau Extreme Challenge mengikut kesesuaian diri sendiri.

FOTO: ROHAIDA ZULKIFLI

Sepanjang perjalanan anda akan melalui pelbagai cabaran seperti flying fox, cable walk, plank bridge, burger walk dan happy hopper. Jika anda memilih Extreme Challenge, sebanyak 23 cabaran perlu diselesaikan sebelum tamat perjalanan.

Water Rafting

Tak tahu nak buat apa hujung minggu? Apa kata anda ke Gopeng, Perak dan cuba water rafting di Sungai Kampar. Aktiviti ini akan melalui tiga sungai iaitu Sungai Geruntum, Sungai Geroh dan Sungai Pacat. Anda perlu ke Kampung Ulu yang menjadi tapak permulaan. Banyak pakej yang ditawarkan oleh pengusaha tempatan untuk anda pilih.

FOTO: TOURISM

Perjalan memakan masa dua jam sepanjang lebih kurang 7-9 kilometer bergantung pada paras air. Terdapat sepuluh jeram yang bakal dilalui dan setiap satunya punya kesukaran tersendiri.

Abseiling Sungai Pisang

Sungai Pisang yang terletak di Gombak sering menjadi tumpuan orang ramai pada hujung minggu terutamanya golongan muda. Anda perlu berjalan menelusuri anak sungai dan mendaki bukit sebelum sampai ke kawasan air terjun. Kini tempat ini juga menawarkan aktiviti abseiling.

Zipline Taman Tunku Abdul Rahman

Jika anda biasa melaku aktiviti zipline di dalam hutan atau bangungan tinggi, apa kata cuba sesuatu yang berbeza di Taman Tunku Abdul Rahman di Sabah. Percaya atau tidak, anda akan merentasi lautan biru antara dua pulau apabila melakukan aktiviti zipline di sana. Berani?

Paragliding

Terbang di udara dan bebaskan diri anda! Paragliding semakin mendapat sambutan masa kini meskipun dikenakan bayaran agak tinggi. Banyak agensi yang menawakan pakej paragliding di pelbagai lokasi seluruh Malaysia. Anda boleh cari mana-mana agensi secara atas talian. Antara lokasi popular pastinya Bukit Jugra, Selangor.

FOTO: Instagram @malaysiaparaglidingteam

Bungee Jumping, Sunway Lagoon

Meskipun tidak setinggi di New Zealand, bungee jumping di Sunway Lagoon Theme Park sudah cukup mencabar adrenalin anda. Pakej yang ditawarkan tidak termasuk harga tikek taman tema tersebut. Bayaran tambahan dikenakan bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti tersebut.

FOTO: Facebook Sunway Lagoon


Booking.com