Campak Makanan Dari Gunung Bromo

SETIAP tahun, pengunjung tempatan dan pelancong asing tidak melepaskan peluang menyaksikan upacara melontarkan makanan ke dalam kawah gunung berapi Bromo yang masih aktif.

Ia merupakan upacara ritual yang dilakukan oleh penganut Hindu suku Tengger di Probolinggo, Indonesia.

Ritual tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti perayaan yang dinamakan sebagai Yadnya Kasada dan disambut selama sebulan. Upacara tersebut menyaksikan bahan persembahan seperti bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran, malah ayam serta daging kambing dicampakkan ke dalam kawah Gunung Bromo yang terletak di Pulau Jawa.

 Media antarabangsa melaporkan ribuan penduduk dan pelancong mendaki Gunung Bromo pada Ahad lalu (1 Julai 2018) untuk menyaksikan sendiri upacara berkenaan.

Sementara itu, penduduk tempatan yang bukan penganut Hindu suku Tengger pula akan cuba untuk menangkap semula makanan yang telah dicampakkan menggunakan alat seperti jaring atau tangguk. Bahkan, ada juga yang ‘menjerat’ makanan yang dilontar menggunakan kain sarung mereka.

Mereka yang menunggu di lereng lebih rendah daripada tempat melontar makanan itu percaya setiap bahan lontaran itu tidak sepatutnya dibazirkan begitu sahaja.

Mengikut legenda, ritual itu berasal dari kisah sepasang suami isteri berdarah raja, Puteri Roro Anteng dan suami, Joko Seger dari kerajaan Majapahit pada kurun ke-15.

Pasangan diraja itu dikatakan terpaksa mengorbankan anak bongsu mereka ke dalam kawah gunung berapi itu selepas dikurniakan seramai 25 orang anak.

Kini, suku kaum Tengger meneruskan ritual berkenaan tetapi menggunakan bahan makanan dan bukan lagi nyawa manusia.

Kerajaan tempatan turut mengisytiharkan ritual tersebut sebagai tarikan kebudayaan dan kesenian yang istimewa buat pelancong yang datang ke lokasi itu.



Booking.com